Isu buli yang sekian lama membelenggu dan menimbulkan kebimbangan masyarakat, akhirnya ditangani secara drastik menerusi penguatkuasaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa Julai lepas.
Pindaan baharu itu memasukkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu.
Hukuman bagi kesalahan itu ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz yang aktif mendepani isu berkenaan selama lima tahun berkata sebelum ini undang-undang sedia ada seperti Seksyen 351 dan 352 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terlalu umum serta tidak menyentuh jenayah buli secara spesifik.
Beliau memberikan contoh kes kematian A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha apabila Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas seorang wanita yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh itu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Peguam di Tetuan Akram Hizri Azad dan Azmir itu berkata hukuman berkenaan adalah denda maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang mungkin sudah tidak efektif lagi dalam memberikan impak atau pengajaran terhadap pesalah laku buli siber.

Muhammad Akram berkata pindaan kali ini juga menunjukkan keseriusan kerajaan kerana turut memberi tumpuan kepada Seksyen 507E dan 507F yang memperuntukkan kesalahan penyebaran maklumat tanpa izin atau doxing yang diklasifikasikan sebagai jenayah serius.
“Saya percaya seksyen ini amat berguna untuk kategori buli siber, perbuatan buli itu dibuat tanpa kekerasan fizikal, namun impaknya mungkin lebih buruk kerana ia menjejaskan emosi dan minda seseorang,” katanya.
Walaupun menyokong kuat pindaan itu, Muhammad Akram menekankan kepentingan pendidikan undang-undang sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah bagi memupuk kesedaran bahawa buli adalah jenayah serius dan bukannya sekadar tingkah laku remeh.
Beliau berkata masih ada masyarakat yang tidak menyedari atau memahami definisi salah laku buli itu yang tidak hanya melibatkan aspek kekerasan fizikal semata-mata, tetapi turut merangkumi bahasa badan, lisan seperti menghina, mengusik keterlaluan.
“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan subjek undang-undang dijadikan sebahagian sukatan di sekolah. Bukan yang rumit seperti di universiti tetapi yang dapat memberi kesedaran asas dan menambah ilmu murni yang diterapkan dalam subjek seperti Pendidikan Islam atau Moral,” katanya.
Pendapat itu disokong pakar kriminologi Universiti Malaya Dr Haezreena Begum Abdul Hamid yang berkata hukuman keras sahaja tidak memadai tanpa diiringi kempen kesedaran berterusan dan intervensi komuniti termasuk daripada pihak sekolah dan masyarakat.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UM itu menarik perhatian dengan menyatakan bahawa buli sering dianggap remeh walaupun ia sudah lama berlaku di sekolah serta tempat kerja dan orang ramai hanya ‘membuka mata’ apabila terdapat kes yang teruk.
“Saya lihat buli seperti telah dinormalisasikan. Jadi, kita perlu menangani dan melihat ia sebagai satu jenayah. Jangan anggap ia lumrah kehidupan.
“Kebanyakan ibu bapa beranggapan buli adalah proses pembesaran begitu juga pelajar sekolah. Kita kena menguar-uarkan impak buli itu yang tidak berhenti hanya di sekolah tetapi (masalah ini) juga (boleh berlaku) di tempat kerja,” katanya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini menyatakan kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan peruntukan baharu itu bagi memastikan semua pihak memahami bahawa buli adalah jenayah yang tidak boleh dipandang ringan.
- Bernama
