ULASAN SUKAN | Hampir seluruh rakyat Malaysia sudah tidak sabar menunggu penyudahan langkah skuad badminton negara di Kejohanan Dunia yang bermula di Paris hari ini.
Kenapa begitu? Apa yang dilihat mereka sehingga nampak begitu ghairah kali ini?
Rasa-rasanya ini adalah pertama kali dalam tempoh sejak beberapa tahun lalu komuniti badminton menyimpan harapan besar untuk melihat pemain negara pulang bersama kegemilangan. Mereka yakin kualiti yang dimiliki barisan negara kebelakangan ini.
Ia berkisar kepada prestasi semasa pemain negara yang sudah memenangi beberapa gelaran dalam Siri Jelajah Dunia BWF sepanjang tahun ini. Tambahan pula, ranking dunia dalam kalangan mereka juga makin meningkat.
Pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini menghuni tangga kedua dalam ranking dunia, manakala jaguh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang melonjak garang ke kedudukan sama.
Dua pasangan itu dijangka mampu mengorak langkah sehingga ke separuh akhir. Selepas itu, segala-galanya berada di tangan mereka untuk naik ke podium.

Tiga lagi pasangan beregu lelaki – Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Junaidi- Yap Roy King – pula bagai mendapat angin baru. Mereka sudah bersuara tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan pingat pada edisi ke-29 kali ini.
Begitu juga peluang bagi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjadi pasangan ranking keempat dunia.
Semua itu sekadar menceritakan pemain beregu negara berkunjung ke Paris dengan matlamat besar – cuba mengilhamkan persembahan terbaik dan pulang dengan gelaran.
Semoga membawa tuah
Kata-kata sebelum ini seperti “kami akan cuba” atau “pencabar kami lebih kuat” jarang terbit dari mulut mereka kebelakangan ini. Ia adalah isyarat bahawa mereka kini memiliki karakter kelainan.
Sifat ceria dalam kalangan pemain juga difahamkan nampak berbeza kali ini. Mereka semacam sudah benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal. Mereka juga nampak seronok sedikit tanpa memikirkan tekanan bakal digalas.
Riak wajah dan aksi di atas gelanggang dalam beberapa bulan lalu menceritakan wakil negara ada ramuan diperlukan untuk diterjemahkan kepada gelaran. Perasaan takut-takut pada mereka macam sudah beransur kurang.
Itu satu petanda baik.

Perlawanan akhir kejohanan hadir berbetulan pada detik negara kita menyambut Hari Merdeka. Kejohanan Dunia bermula pada 25 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos di Arena Adidas, Paris.
Segala-galanya diharap berakhir dengan kejayaan manis sebagai hadiah kepada rakyat seluruhnya. Peminat sudah lama dahagakan kejayaan besar.
Badminton tanah air juga ceria selepas pemain legenda, Lee Chong Wei, dilantik sebagai ahli baru dalam Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 16 Ogos lalu.
Semoga kehadiran Chong Wei dapat membawa tuah kepada pemain menggalas cabaran di Paris. Petua dan nasihat kepada ‘adik-adik’ dalam skuad negara harus dilihat sebagai amanat penting.
Kejohanan kali ini juga akan diadakan di gelanggang sama digunakan bagi temasya Sukan Olimpik 2024.

Bagi Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, di dewan itulah mereka memenangi pingat gangsa. Justeru ia akan memberi kelebihan kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan lebih pantas.
Pearly-Thinaah juga mencipta sejarah layak ke separuh akhir.
Begitu juga Sze Fei-Izzuddin, Wei Chong-Kai Wun, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei. Mereka semua beraksi di gelanggang sama pada Terbuka Perancis tahun lalu.
Berasaskan laporan semasa di media tempatan, satu gambaran yang dapat dirakamkan adalah skuad dipilih kali ini dianggap terkuat pernah disaksikan. Lebih khusus, buruan juara lebih terarah kepada kelibat pemain acara beregu (lelaki, wanita dan campuran).
Statistik tak cukup membanggakan
Sentuhan Rexy Mainaky, Herry Iman Pierngadi sejak awal tahun ini juga perlu dihargai sehingga membentuk pasangan beregu kita yang mula digeruni lawan. Begitu juga Rozman Razak yang membimbing baik peningkatan Pearly-Thinaah.
Penulis tidak bermaksud pemain acara perseorangan kita tidak ada peluang. Tetapi, realitinya, kita kurang nampak gambaran positif pada saat ini. Namun, Lee Zii Jia yang kembali daripada kecederaan lama tidak boleh diketepikan daripada kemungkinan mampu membuat kejutan.
Kali terakhir skuad negara meraih pingat emas ialah menerusi Aaron-Wooi Yik. Ia juga emas tunggal kita sejak kejohanan ini bermula pada 1977.
Detik bersejarah itu dilakar pada 28 Ogos 2022. Dalam perlawanan akhir, pasangan negara gah menumpaskan juara tiga kali dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 2-14 di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Gelaran itu menjadi hadiah kemenangan Hari Merdeka kepada rakyat Malaysia pada ketika itu. Kegemilangan dilakar turut menamatkan badi 45 tahun tanpa kilauan emas.
Rekod juga menunjukkan, pemain negara kita sudah sembilan kali muncul dalam perlawanan akhir sebelum ini iaitu lima dalam acara perseorangan lelaki dan empat beregu lelaki.

Ini termasuk Chong Wei yang layak ke final empat kali pada 2011, 2013, 2014 dan 2015. Wakil lain adalah Wong Choon Hann (2003), Jalani-Razif Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).
Sebenarnya statistik pencapaian kita dalam Kejohanan Dunia tidaklah memberangsangkan.
Hal itu kerana kita sebuah negara yang kaya dengan tradisi badminton malah sebagai antara pengasas awal sejarah permainan ini.
Dalam keadaan sebegitu, seharusnya kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara gergasi lain seperti China, Indonesia, Denmark atau pun Korea Selatan dan Jepun.
China yang hanya menyertai pertandingan tersebut pada 1983 sudah jauh meninggalkan semua pencabar lain dengan 70 emas, diikuti Indonesia (23), Korea Selatan (13), Denmark (11) dan Jepun (9).
Jika mahu dibandingkan rekod itu, jelas kita sudah ketinggalan. Lebih perit, India dan Thailand sudah memenangi emas tunggal mereka lebih awal daripada Malaysia.
Ini satu nota sedih dan tambahan gelaran perlu dicapai oleh pemain generasi masa depan kita.
Apa pun, selamat berjuang kepada skuad negara. Seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama mengiringi cabaran anda pada setiap halangan di kota Paris.
Ayuh! Ini kalilah.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
