Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA tegur timbalan menteri: Umum dasar melalui agensi, bukan di FB
Diterbitkan:  Aug 25, 2025 10:41 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

MCA hari ini mengkritik Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying kerana menggunakan laman Facebooknya untuk memaklumkan pendirian rasmi kerajaan berkaitan tindakan menyimpan minuman keras di rumah.

Naib Ketua Pemuda MCA Tan Yang Pang berkata Lim sepatutnya membuat makluman itu melalui Jabatan Kastam yang merupakan agensi berkaitan.

“Undang-undang mesti jelas dan boleh dikuatkuasakan. Kekaburan dalam hal dasar negara tidak sepatutnya berlaku.

“Jika kerajaan benar-benar memutuskan yang orang awam tidak perlu mendapatkan lesen untuk menyimpan minuman keras yang dibeli secara sah dan telah dikenakan cukai di rumah, maka dasar ini harus diumumkan secara rasmi melalui Jabatan Kastam dalam bentuk kenyataan atau arahan rasmi, bukan sekadar hantaran di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Lim menerusi laman Facebooknya menumumkan lesen tidak diperlukan untuk menyimpan minuman keras yang telah dicukai di rumah.

Dia berkata dasar itu telah disahkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Pengarah Bahagian Percukaian dan Ketua Pengarah Kastam.

Lim Hui Ying

Namun, Tan menegaskan bahawa hantaran di Facebook tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang.

Dia juga mempersoalkan jika Facebook kini telah menjadi platform rasmi Kementerian Kewangan untuk mengumumkan dasar kerajaan.

“Adakah penjawat awam dan pegawai penguat kuasa kini perlu menatal media sosial untuk memahami arahan untuk mereka?

“Hantaran Facebook tidak mengikat secara undang-undang dan tidak memberikan jaminan sebenar kepada orang ramai, sekali gus menyebabkan mereka terdedah kepada serbuan, intimidasi atau denda yang salah.

“Lim, anda seorang timbalan menteri, bukan pempengaruh media sosial. Hal ehwal negara dan dasar perundangan tidak boleh diambil mudah hanya menerusi hantaran di media sosial,” katanya lagi.

Dia menegaskan bahawa isu seumpama itu tidak boleh ditangani secara sambil lewa atau acuh tak acuh.

Dalam hantaran Facebook berbahasa Cina, Lim memberi penjelasan berhubung laporan Sin Chew Daily semalam yang menyatakan Jabatan Kastam mengingatkan orang ramai bahawa tindakan menyimpan 30 botol arak di rumah boleh dianggap sebagai melanggar undang-undang.

Laporan itu memetik kenyataan Jabatan Kastam bahawa di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976, individu dibenarkan menyimpan sehingga 15 liter minuman keras.

Ia menyatakan sebarang kuantiti yang melebihi had itu boleh dianggap menyalahi undang-undang, kecuali jika ada permit penyimpanan yang sah.

Laporan itu juga memetik seorng jurucakap yang menjelaskan bahawa tindakan menyimpan jumlah arak yang berlebihan boleh menimbulkan syak terhadap penjualan haram atau penyalahgunaan, dan menggesa orang ramai untuk mematuhi had yang ditetapkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS