Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Duri di balik ria RAI2025 di Pahang [Bahagian 2]

ULASAN SENI | Selain subur dengan kegiatan budaya, Mukim Hulu Cheka di Jerantut, Pahang juga cakna terhadap kepentingan alam sekitar serta pertanian mampan.

Misalnya, banyak kebun dan dusun di mukim itu mendapat pengiktirafan sijil Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), selain wujud pengusaha sawah padi organik juga.

Sementara itu, terdapat pelbagai inisiatif pemeliharaan alam sekitar yang diusahakan masyarakat, seperti Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Hulu Cheka (Pamuc), Kelab Kembara Sungai Rengat dan pusat pendidikan hidupan liar SOMset Wildlife.

Pada masa lalu, masyarakat di situ juga pernah teruji dalam mempertahankan hutan yang seringkali menggiurkan kapitalis pemangsa dengan cadangan seperti projek balak, lombong, malah empangan hidro.

Mereka sedar hulu sungai mereka perlu dilindungi kerana ia menjadi nadi ekonomi asas tani desa.


BACA Syarikat fail saman penduduk, dakwa halang 'ambil hasil hutan'

Syarikat balak tarik balik prosiding menghina terhadap penduduk kampung, peguam

Hijau bumi Tuhan: Menanam hutan di sekolah


Keindahan hutan hujan, kegiatan pemuliharaan alam sekitar dan pertanian organik dusun warisan di mukim ini antara sebab yang menarik perhatian artis untuk menyertai festival Residensi Artis Antarabangsa Indercheka (RAI2025) yang berlangsung dari 19 Jun ke 6 Julai lalu.

Selama 15 hari, seramai 28 seniman antarabangsa dan tanah air tinggal di inap desa lapan kampung di Hulu Cheka.

Untuk sementara waktu, mereka mengubah latar ruang inap desa menjadi studio untuk berkarya, alam menjadi sumber ilham, dengan sesi perkongsian ilmu bersama komuniti - seniman dan masyarakat saling belajar.

Teras program RAI2025 melibatkan komponen penting bengkel seni dengan komuniti serta pelajar sekolah, acara seni performans, instalasi, penciptaan karya individu atau bersama komuniti di tapak khusus serta pameran dan persembahan.

Teruja pada hutan hujan negara

Dalam keterbatasan penganjuran, saya memohon maaf kepada para seniman undangan kerana tidak mampu menawarkan imbuhan dan layanan setara acara seni bertaraf antarabangsa di galeri dan muzium seperti yang biasanya diterima mereka.

RAI2025 berasa amat bertuah kerana tokoh seni visual dari Singapura, Chua Soo Bin, 94, tetap hadir dalam kekangan fizikalnya. Dalam keadaan uzur dan berkerusi roda dia sanggup hadir – dan bukan atas jemputan saya – bersama pembantu peribadinya  

Artis Paola Galletta (Mexico) bersama Chua Soo Bin.

Chua menyertai acara seni performans dan turut mempamerkan karya instalasi fotonya di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Cheka.

"Saya dapat tahu (kurator tamu RAI2025) Jeremy (Hiah) nak ke Pahang untuk festival ini. Saya tanya jika saya boleh jadi peserta," katanya kepada saya.

Jelas Chua, kehadirannya ke Pahang kali ini demi mengimbau kenangan lama ketika melawat Taman Negara pada 1950-an untuk sesi jelajah mengambil gambar hidupan liar.

"Apabila saya membuka shutter kamera, dari kejauhan saya dapat melihat tiba-tiba telinga rusa itu naik. Haiwan ini amat sensitif," imbasnya.

Chua – legenda fotografi Asia dan pemenang Cultural Medallion 1988 iaitu anugerah tertinggi kebudayaan Singapura – mengakui dia amat teruja dengan kepelbagaian hayat hutan hujan Malaysia.

Menurutnya, ketika itu bersama rombongan kumpulan jurugambar salon, dia juga sempat ke pesisir Pantai Timur untuk mengambil gambar pendaratan penyu belimbing di Kuantan dan di Rantau Abang.

Saya jelaskan penyu belimbing sudah pupus daripada mendarat di Pantai Timur Semenanjung. Sekarang yang tinggal penyu agar saja.

Selain itu, Chua berkata, dia peminat durian dan tahu ada banyak baka durian organik yang enak di Pahang dari pohon dusun warisan berusia lebih 100 tahun.

Poster program seni persembahan rekaan artis Francis Poon dan Jeremy Hiah (Singapura) memaparkan pohon durian Hulu Cheka berusia 200 tahun.

"Jangan jadikan festival seni ini tentang saya semata-mata. Profil artis undangan untuk festival ini semuanya kuat.

"Kehadiran saya semata-mata untuk menyokong usaha ini – yang memang patut kamu teruskan.

"Tahniah kerana kamu dan komuniti setempat kerana dapat melakukan ini. Tenang, kami faham soal kekangan kewangan," katanya.

Hubungkan pengalaman tempatan

Sementara itu, pengarah Arkib Seni Persembahan China dan pengasas Up-On Festival di Chengdu, Zhou Bin, pula memberikan maklum balasnya yang tersendiri.

"RAI2025 organisasi seni yang teruk, tapi para seniman gembira. Jangan risau," katanya sambil tertawa kecil.

"Kebiasaannya acara yang kami anjurkan di China memang tersusun rapi tetapi selalunya amat serius dan tidak santai seperti festival ini," katanya.

Persembahan Zhou Bin (China) di Lang Buana Eco Park.

Dr Ray Langenbach dari AS pula tokoh yang menghabiskan masa hampir empat dekad mengkaji kebudayaan di rantau Asia. Mengenai RAI2025, dia memberitahu ia mengingatkannya kepada festival-festival seni independen yang berlangsung di serata Asia Tenggara pada dekad 1990-an.

Lantaran itu, Langenbach yang juga pensyarah dan seniman performans berkata, saat mendapat undangan RAI2025 dia tidak teragak-agak untuk mengesahkan penyertaannya.

"Seniman dapat undangan acara dan mereka hadir dengan belanja peribadi demi meraikan kesenian itu sendiri," kata professor University of the Arts Helsinki, Finland dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) itu.

Saya lega, mujurlah rata-rata para seniman faham masalah penganjuran festival ini. Peserta merentasi pelbagai disiplin termasuk seni persembahan, visual, video, digital, bunyi, instalasi, lukisan, media baru serta kearifan tempatan dan warisan.

Ray Langenbach (AS/Malaysia) menyampaikan persembahan syarahan tentang genosid Israel di Palestin.

Mereka ialah Zhou Bin (China), Prof Dr Ray Langenbach (AS/Malaysia); Paola Galletta (Mexico); Chua Soo Bin, Francis Poon Ping Him, dan Jeremy Hiah (Singapura); To & Ling (Hong Kong); Mongkol Plienbangchang, dan Patani Artspace (Thailand); Farah Kashem (AS/Kanada/Indonesia); Nicolas Jeanbourquin (Switzerland); Hanif Shah, Muhdraimi Rahim, Mukhriz Hazim, Saifuddin Mamat, Spectra Collective – Dr Ainolnaim Azizol, Fendi Mazalan, Prof Hasnizam Abdul Wahid, Hashim “Ubi Marchino”, Hasnul Jamal Saidon, Rizal Morales Yakin, Azram Nor Hakim, Sham Boas dan Halim@Tunggum Pitong (Malaysia); Rommel “Metz” Espinosa (Filipina); Kosala Kumara (Sri Lanka); dan Manish Lal Shrestha (Nepal).

Bagi saya, RAI2025 menjadi jambatan menghubungkan pengalaman tempatan dengan wacana global – seiring meletakkan desa kecil di Hulu Cheka ke peta seni kontemporari dunia.

Karya instalasi video oleh Farah Kashem (AS/ Kanada/ Indonesia).

Karya para seniman mencerminkan isu-isu semasa; daripada isu alam sekitar, perubahan iklim kepada politik identiti, teknologi dan memori kolektif, trauma dan pemulihan, penjajahan dan dekolonialisasi, juga tema perang dan perdamaian.

Ia cuba menyambungkan Hulu Cheka dengan dunia – dan dunia dengan Hulu Cheka – melalui karya-karya yang sarat dengan suara sejagat dan mungkin lahir dari dalam hutan, di tepi sungai, pada aliran arus air terjun atau jiwa yang menerawang di langit malam sepanjang tempoh residensi.

Program itu kebetulan berlangsung serentak dengan gugurnya durian pertama dari dusun Hulu Cheka.

Buah-buahan organik dari pohon berusia ratusan tahun pasti menjadi hidangan yang menyatukan seniman dan penduduk, antara karya dan tawa, antara bahasa tempatan dan bahasa dunia.

Poster program pameran.

Dengan menerima hakikat keadaan serba kekurangan, akhirnya keikhlasan menenteramkan segala rasa kesal, gelisah dan cemas.

Denyut nadi ramai

Seni dalam RAI2025 bertukar menjadi medan embracing uncertainty — apabila keadaan mendesak untuk kami memeluk ketidaktentuan, lalu melepaskan kawalan.

Tanpa sengaja kami mengalihkan organisasi dan institusi daripada obsesi mengawal budaya untuk melepaskan apresiasi serta penciptaan karya kepada akal budi seniman dan masyarakat itu sendiri.

Inti RAI2025 bukan milik satu tangan atau kerja satu nama, tetapi dihidupkan oleh denyut nadi ramai: seniman dari pelbagai latar, masyarakat yang membuka pintu dan hati, serta ruang desa bersama alamnya yang menjadi muzium dan galeri.

Di situ setiap insan meninggalkan jejaknya — ada yang mengukir pengalaman, ada yang menukilkan limpahan ilham, ada yang menganyam persahabatan lintas budaya dan ada yang mencari kesembuhan dari alam; atau mereka yang hadir sekadar sebagai saksi tetapi hatinya turut tersentuh dengan detik kenangan itu.

Dalam kerangka tersebut, RAI2025 menjadi sebuah karya ko-kreasi yang menunggalkan semua pengalaman menjadi arca sosial yang mempertemukan desa dan dunia, tradisi dan eksperimen, masyarakat setempat dan sejagat.

Bermakna setiap manusia memiliki potensi kreatif untuk membentuk masyarakat dan persekitarannya. Penciptaan karya dan kegiatan seni itu sendiri satu proses mengukir struktur sosial yang hidup. 

Arca karya pengukir Jah Hut Halim@Tunggum Pitong (Malaysia).

RAI2025 tidak hanya mempamerkan karya, tetapi membina jaringan hubungan, kepercayaan dan perubahan dalam komuniti.

Proses itu menggabungkan tenaga seniman, birokrat desa, penduduk dan alam sebagai bahantara yang sama pentingnya dengan pahat, cat, kanvas atau pentas.

Sebuah karya ko-kreasi yang menghidupkan kembali makna asal seni: bahasa rasa dan jiwa. Mungkin pengalaman RAI2025 boleh disimpulkan seperti rupa-rasa raja buah Hulu Cheka – suatu kiasan klise yang selalu dipakai orang: berduri, pahit tapi lemak dan manis.

Ya sudilah durian, apabila dikopek kulitnya maka terbukalah nikmat ulas-ulas isi serat bergas itu. Awas, jangan sampai cika.


BACA BAHAGIAN 1: ULASAN | RAI2025: Ilham alam, desa jadi galeri seni


RAHMAT HARON ialah penulis, penyair, seniman visual dan performans.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS