Hasrat pembangkang untuk merujuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak kesampaian apabila usul berkenaan ditolak.
Ia selepas Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mengemukakan usul berkenaan susulan kenyataan Anwar (PH-Tambun) berhubung tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkait kes Pulau Batu Puteh.
“Usul saya ditolak kerana dikatakan ia mengikut perkara itu mengikut pengesyoran Suruhanjaya Siasat Diraja (RCI).
“Padahal RCI tak mengatakan Tun Dr Mahathir bersalah, tiada. Jadi itu satu lagi penipuan,” katanya ketika ditemui media di pintu utama Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu Takiyuddin (PN-Kota Bharu) bersama wakil-wakil rakyat lain tampil menyertai himpunan bantahan rang undang-undang Pembangunan Semula Bandar (URA).
Pada 24 Julai lalu, Takiyuddin menyatakan hasrat pihaknya untuk mengemukakan usul berkenaan selepas Anwar mengeluarkan kenyataan untuk tiada mengambil tindakan undang-undang ke atas Mahathir atas faktor usia.
“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah kuasa perdana menteri? Adakah ini satu pengesahan daripada perdana menteri bahawa beliau campur tangan dalam urusan perundangan?” soalnya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata kabinet tetap berpendirian bahawa Mahathir bersalah kerana keputusannya - sebagai perdana menteri pada 2018 - melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
Kata Anwar keputusan kabinet untuk tidak mengambil tindakan undang-undang juga dibuat dengan mengambil kira status Mahathir sebagai bekas perdana menteri yang umurnya sudah mencecah 100 tahun.
Sementara itu Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS mengulangi kenyataan bahawa Anwar mengambil-alih tugas polis, peguam negara, mahkamah dan hakim.
“Sepatutnya dia (Anwar) buat laporan polis supaya siasat, dan serah kepada peguam negara.
“Sekarang ini dia mengambil kerja polis, peguam negara, mengambil kerja mahkamah, dan dia jadi hakim, dia segala-galanya,” katanya lagi.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri
