Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.
Katanya, selain aspek keselamatan pelajar, siasatan turut membabitkan pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan sekelilingnya.

"Polis sedang mengumpulkan keterangan daripada saksi-saksi dan individu berkaitan. Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli terlalu awal untuk disahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga pelajar terbabit.
Menurutnya, polis komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki dilaporkan kritikal selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sabak Bernam dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 2 pagi tadi.
Menurut laporan media, keluarga mangsa mendakwa kejadian berkenaan mempunyai unsur buli berdasarkan kecederaan patah pada bahagian rahang, pendarahan otak dan kecederaan paru-paru.
Mangsa kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi.
Akhbar Sinar Harian, sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga kini dalam keadaan kritikal selepas kejadian itu.
Imsiden dikatakan berlaku sekitar jam 2 pagi tadi, dan seorang waris membuat laporan polis di balai Sabak Bernam pada jam 5 pagi.
Waris itu turut menegur pihak sekolah kerana didakwa hanya memaklumkan kepada keluarga beberapa jam selepas kejadian.
“Kami hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pengetua, penolong kanan hal ehwal murid serta semua warden sekolah itu kini ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

Fadhlina berkata, pihak kementerian akan menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dan dia akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci dalam semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli.
"Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bulan lalu, seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai 2025.
Dia dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agamanya di Papar kira-kira jam 4 pagi, sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, keluarga Zara mengesyaki wujud unsur jenayah dan menuntut mayatnya digali semula untuk mengenal pasti punca kematian, dengan alasan tiada bedah siasat dijalankan sebelum pengebumian.
Susulan desakan awam, Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis menggali semula mayat Zara untuk dibedah siasat.
Polis juga merampas beberapa barangan, termasuk pakaian Zara, diarinya, dan telefon bimbit milik ibunya, Noraidah Lamat, yang didakwa mengandungi rakaman audio Zara menamakan individu yang membulinya.
Kematian Zara mencetuskan bantahan di beberapa kawasan di Sabah, sekali gus mendorong ramai ahli politik menggesa tindakan lebih tegas terhadap kes buli.
