Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil PN gesa hukuman rotan diperkenalkan semula di sekolah

PARLIMEN l Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, mencadangkan agar hukuman rotan dikembalikan semula di sekolah.

“Saya mencadangkan supaya hukuman rotan kepada pelajar-pelajar yang tak berdisiplin akan diperkenalkan semula.

“Masa kita sekolah dulu, rotan diadakan di sekolah. Tapi hari ini nampaknya pihak kementerian lebih mengutamakan ibu bapa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol Wahid

Menurutnya, hanya apabila ibu bapa membuat aduan, barulah kementerian akan bertindak.

Dia berkata demikian ketika membahaskan cadangan berkaitan isu buli oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti.

Perbincangan mengenai buli semakin hangat berikutan kematian tragis Zara Qairina Mahathir yang berusia 13 tahun di Sabah bulan lalu.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada 4 pagi hari sebelumnya.

Beberapa bantahan dan perhimpunan telah diadakan sejak kejadian itu, yang menuntut keadilan untuk kematiannya, yang disyaki terdapat unsur perbuatan keji.

Sebelum perbahasan, Pengerusi PSSC Yeo Bee Yin (PH-Puchong) menyatakan pandangan jawatankuasa itu bahawa kematian Zara Qairina tidak akan berlaku sekiranya garis panduan Kementerian Pendidikan mengenai buli - dikemas kini terakhir pada November 2023 - diikuti.

Begitu juga, kes di sekolah berasrama penuh di Sabak Bernam, membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga dan kini dalam keadaan kritikal, boleh dielakkan, katanya.

“Persoalannya, berapa lagi sekolah KPM yg tidak mengikut garis panduan? Berapa lagi mengambil sikap denial dengan hasrat untuk menutup kes dengan cepat?

“Apa gunanya jika kita ratifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), kita mewujudkan garis panduan yangg komprehensif - tetapi hakikatnya semua ini hanya menjadi kosmetik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita telah buat yang terbaik dalam melindungi anak-anak kita,” katanya.

Yeo Bee Yin

Setakat ini, Yeo berkata PSSC telah membentangkan 17 cadangan kepada kerajaan khususnya KPM untuk menguruskan isu buli.

Ini termasuk saranan agar KPM mewajibkan garis panduan buli kepada sekolah-sekolah kerana ia belum lagi menjadi bahagian wajib dalam sukatan pelajaran latihan guru.

Dia berkata cadangan lain adalah untuk mewujudkan talian khas aduan buli mesra kanak-kanak oleh KPM, dengan fungsi seperti sembang dan bahasa mudah yang boleh disesuaikan dengan umur dan kebolehan yang berbeza.

“Ini adalah kerana jawatankuasa mendapati melalui sesi libut urus bahawa saluran aduan buli yang sedia ada sekarang masih tidak mesra kanak-kanak dan menggunakan bahasa yang sangat birokratik,” jelasnya.

PSSC juga mencadangkan sekolah berasrama penuh mewujudkan peti surat aduan buli kerana kanak-kanak di sana tidak mempunyai akses kepada telefon bimbit atau Internet.

Yeo seterusnya berkata warden sekolah berasrama sepatutnya dilantik daripada bekas pegawai polis atau tentera yang disaring dan bukannya guru.

Warden ini sepatutnya diberikan latihan perlindungan kanak-kanak serta ujian psikologi, tambahnya.

Selain itu, Yeo berkata perbincangan dengan ahli PSSC lain membawa kepada keputusan untuk mengadakan petbincangan terbuka mengenai anti-buli untuk mendengar pandangan daripada orang ramai.

Dia berkata jawatankuasa itu juga akan mengadakan lebih banyak sesi penglibatan.

“Selepas itu, kami akan membentangkan satu lagi penyata untuk memberi syor dan membantu kerajaan dalam usaha memperangi budaya buli di Malaysia,” katanya lagi.


Laporan oleh Zarah Morden, Haris Mohd, N Faizal Ghazali


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS