Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSB bukan strategi Cina rampas rumah Melayu, kata Anwar

PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak pembangkang yang menuduh kerajaan cuba menyingkirkan orang Melayu melalui cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Berucap di Dewan Rakyat, Anwar menegaskan dia bukan boneka yang sanggup diperalat sesiapa untuk mengusir orang Melayu bagi memberi laluan kepada orang Cina mengambil alih perumahan mereka.

Sebaliknya, perdana menteri menegaskan, PSB bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perumahan usang di bandar.

“Jadi jangan kita buat andaian ini strategi Cina untuk rampas (rumah) Melayu.

“Saya tidak setuju (dengan tanggapan sebegitu). Saya bukan boneka.

“Saya duduk sini. Saya mesti pertahankan hak asasi orang Melayu yang merupakan majoriti,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut), yang menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua PSB yang dijadualkan lewat hari ini.

Hamzah Zainudin (PN-Larut)

Kenyataan itu dibuat ketika desakan lantang oleh pemimpin pembangkang, yang berhujah PSB akan menyebabkan gentrifikasi dan meminggirkan golongan miskin, khususnya masyarkat Melayu dan India.

Menurut Anwar, pentadbirannya mahu rang undang-undang baharu itu dikuatkuasakan untuk membantu orang Melayu bandar yang hidup dalam keadaan perumahan yang daif.

Sambil mengakui kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam RUU PSB, namun menurut perdana menteri, ia bukanlah alasan untuk pihak tertentu membantahnya.

Katanya, mereka sebaliknya perlu mengemukakan syor untuk penambahbaikan RUU PSB 2025, bukannya membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.

Perdana Menteri turut berkongsi mengenai pengalaman melihat sendiri keadaan perumahan yang teruk di Flat Seri Perlis di ibu negara.

"Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di Kuala Lumpur, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.

"Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU PSB 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah).

“Rampas apa... saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.

"Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan)," katanya.

Sementara itu, Anwar kelihatan tersasul apabila bercakap mengenai ambang persetujuan.

Secara khusus, dia mula bercakap tentang ambang untuk bangunan yang berusia 30 tahun tetapi dalam ayat seterusnya dia menyebut pula 40 tahun.

“Ada yang kata nilai ambang 30 tahun. Tapi mesti runding tidak boleh kerajaan bulldoze.

“Kalau betul 40 tahun rumah itu, 80 peratus mesti setuju. Dengan syarat-syarat yang ketat. Dan kita tetapkan yang 20 peratus itu jangan kita abaikan.

“Kalau dia ada hak, ada title (geran hak milik) dia. Mesti bagi pampasan yang mencukupi,” katanya.

Di bawah RUU PSB yang dicadangkan, bangunan di bawah 30 tahun memerlukan kelulusan 80 peratus sebelum boleh dibangunkan semula, manakala premis lama hanya memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus pemilik.


Laporan oleh N Faizal Ghazali, Hariz Mohd dan Alyaa Alhadjri



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS