Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamarul Zaman gagal tangguh bayar RM400,000 kepada menteri
Diterbitkan:  Aug 28, 2025 1:47 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff untuk menangguhkan bayaran ganti rugi berjumlah RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Jumlah itu adalah ganti rugi yang perlu dibayar Kamarul Zaman susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Mei lalu yang membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Yeoh terhadapnya, berhubung buku 'Becoming Hannah'.

Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa dalam permohonan tersebut.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Yeoh berkata mahkamah juga memerintahkan pensyarah itu membayar kos RM2,500.

“Dengan keputusan hari ini, dia perlu membayar ganti rugi berkenaan," katanya kepada media selepas prosiding di dalam kamar.

Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Kamarul Zaman berkata mahkamah telah membuat penilaian maksimum dan mendapati tidak wujud keadaan istimewa untuk melayakkan penggantungan diberikan kepada anak guamnya.

"Sehubungan dengan itu, penghakiman oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini (yang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM400,000) akan terus berkuat kuasa.

"Anak guam saya perlu membayar ganti rugi berkenaan kerana prosiding kebankrapan telah difailkan terhadapnya.

“Kami juga telah memfailkan rayuan pada awal Jun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini," kata peguam itu.

Pada 15 Ogos lalu, Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut memfailkan notis kebankrapan terhadap Kamarul Zaman selepas dia gagal membayar ganti rugi berkenaan.

Pada 30 Mei lalu, Hakim Aliza Sulaiman memerintahkan Kamarul Zaman membayar ganti rugi RM400,000 itu selepas membenarkan tuntutan saman fitnah Yeoh berikutan kenyataan fitnah yang dibuat defendan lapan tahun lalu.

Hakim Aliza dalam keputusannya antara lain berkata mahkamah berpuas hati bahawa Yeoh telah memenuhi beban bukti berdasarkan keseimbangan kebarangkalian bahawa penerbitan pertama dan kedua adalah fitnah terhadapnya.

Saman fitnah yang difailkan pada 2022 itu tercetus daripada dua hantaran Facebook oleh Kamarul Zaman antara 10 hingga 17 Mei 2017, yang mendakwa Yeoh mempunyai agenda memurtadkan dan menggunakan platform politiknya untuk mempromosikan agama Kristian.

Kamarul Zaman juga merujuk kepada autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai bukti kepada agenda berkenaan, serta mendakwa Hannah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS