Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ke persidangan Dewan Rakyat pada Oktober depan.
Keputusan itu dibuat selepas RUU yang kontroversi itu menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk ahli parlimen pembangkang dan kerajaan.
Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada penangguhan itu berpunca daripada bantahan terhadap RUU tersebut atau sebaliknya.
Sumber terdekat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa rang undang-undang itu tidak akan dibahaskan hari ini, iaitu hari terakhir mesyuarat kali ini.
Keputusan itu disambut baik oleh pembangkang, dengan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyifatkannya sebagai satu “kemenangan”.
“URA (PSB) tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu kemenangan kepada rakyat. Teruskan menentang,” katanya.
Banyak pihak, termasuk daripada parti yang menyokong kerajaan, menggesa bacaan kali kedua rang undang-undang yang dicadangkan itu ditangguhkan.

Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (BN-Rembau), dilaporkan berkata ahli parlimen BN menyokong gesaan penangguhan tersebut.
Bercakap kepada media di Negeri Sembilan, Mohamad berpendapat rang undang-undang itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh banyak pihak.
"Saya telah mengadakan mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN, dengan semua menyatakan kebimbangan serta mahu supaya RUU itu ditangguhkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kelmarin, sekumpulan penyokong PN bersama persatuan penduduk Wilayah Persekutuan berhimpun di luar Parlimen untuk menyerahkan memorandum bagi membantah rang undang-undang tersebut.
Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, termasuk Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), Wong Chen (PH-Subang), Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai), Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) serta Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), menerima memorandum daripada kumpulan berkenaan.
Menteri besar empat negeri pimpinan PN – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – turut menyatakan bantahan terhadap RUU b berkenaan menerusi satu kenyataan bersama.
PN dan penyokongnya berpendapat URA itu berisiko mengganggu keseimbangan kaum di bandar sehingga merugikan orang Melayu.
Mereka juga mendakwa rang undang-undang yang dicadangkan itu tidak menyediakan mekanisme perlindungan dan pampasan yang jelas kepada penduduk.
Minggu lalu, Wong Chen mengetuai Ahli Parlimen PKR dalam usaha menggesa supaya bacaan kali kedua RUU itu ditangguhkan.
Mereka berpendapat ambang persetujuan yang dicadangkan dalam RUU tersebut terlalu rendah.
