Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dirangka oleh kerajaan melalui PLANMalaysia merupakan inisiatif penting untuk memperbaharui dan meremajakan bandar-bandar lama di Malaysia.

Fokus utama akta itu ialah membaik pulih, menggantikan atau meremajakan bangunan-bangunan lama seperti flat usang, pangsapuri kos rendah, dan premis komersial yang telah lama tidak memenuhi piawaian moden.

Masalah seperti lif rosak, paip bocor, sistem elektrik ketinggalan zaman, dan keretakan struktur telah menjejaskan kualiti hidup serta membahayakan keselamatan penghuni.

Dalam konteks itu PSB hadir sebagai jawapan yang menyeluruh kerana ia bukan sahaja menawarkan pembangunan fizikal tetapi juga menjamin hak penduduk asal untuk kembali mendiami kawasan tersebut apabila projek siap.

Jaminan tersebut membezakan Akta PSB daripada Akta Pengambilan Tanah yang lebih menekankan kepentingan awam tanpa kepastian mengenai penempatan semula.

Justeru Akta PSB dianggap sebagai usaha untuk mengelakkan fenomena pengusiran yang meminggirkan masyarakat miskin bandar.

Dari sudut sosiologi, Akta PSB dilihat sebagai usaha mengekalkan kelestarian komuniti bandar. Apabila penduduk diberi hak kembali ke kawasan asal, bermakna jaringan sosial, memori kolektif, serta budaya kejiranan yang sudah lama terbina tidak akan terputus.

Komuniti bukan sekadar terbentuk daripada bangunan yang didiami, malah melalui ikatan sosial yang terjalin antara jiran tetangga, sokongan tidak formal, dan interaksi harian.

Ingin kehidupan lebih baik

Akta PSB juga berfungsi sebagai instrumen keadilan sosial kerana ia mengelakkan pembangunan yang hanya memihak kepada keuntungan semata-mata.

Namun cabaran timbul selepas projek siap, iaitu sama ada penduduk mampu menanggung kos penyelenggaraan baru – seperti yuran penyelenggaraan, dana terikat (sinking fund), dan bil utiliti yang meningkat seiring dengan kemodenan kemudahan disediakan.

Risiko besar ialah wujudnya paradoks bahawa pembangunan material berjaya dilaksanakan, tetapi masyarakat asal akhirnya terpinggir kerana tidak mampu menampung kos hidup.

Hal itu boleh menyebabkan mereka berpindah juga, dan seterusnya menggagalkan objektif Akta PSB untuk mengekalkan komuniti lama.

Selain itu, akta berkenaan juga merupakan ruang tawar-menawar antara tiga pihak utama iaitu kerajaan, pemaju, dan penduduk.

Kerajaan berhasrat membina bandar moden dan selamat, manakala pemaju menekankan keuntungan daripada projek pembangunan. Penduduk pula ingin menikmati kehidupan yang lebih baik tanpa dibebankan dengan kos tambahan.

Kejayaan Akta PSB bergantung kepada sejauh mana keseimbangan dapat dicapai antara kepentingan tadi. Dari segi material, pembangunan semula menjanjikan struktur moden yang lebih selamat dengan kemudahan baru, sistem infrastruktur terkini, dan ruang bandar yang lebih teratur.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, pendekatan yang terlalu menekankan pembangunan fizikal boleh menghapuskan nilai warisan lama, termasuk seni bina dan memori kolektif yang membentuk identiti sosial sesebuah kawasan.

Jika semua bangunan lama diruntuhkan, yang tinggal hanyalah menara moden yang berfungsi tetapi kehilangan jiwa komuniti. Maka, cabaran sebenar Akta PSB ialah mencari keseimbangan antara memperbaharui material fizikal dan memelihara nilai sosial serta identiti bandar.

Apabila dilihat melalui lensa Ibn Khaldun, PSB boleh difahami dalam kerangka asabiyah atau solidariti sosial yang menjadi teras kelangsungan sesuatu masyarakat. Ibn Khaldun menegaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun bukan hanya terletak pada pencapaian material, tetapi juga pada kesatuan sosial yang terjalin dalam kalangan anggotanya.

Dalam Muqaddimah, dia menyatakan: “Asabiyah menghasilkan keupayaan untuk mempertahankan diri, menawarkan tentangan untuk melindungi diri sendiri, dan untuk menekan tuntutan seseorang. Sesiapa yang kehilangannya adalah terlalu lemah untuk melakukan mana-mana perkara ini.”

Ada pengaruh besar

Dalam konteks bandar lama, asabiyah terzahir melalui ikatan kejiranan, jaringan persahabatan, dan sistem sokongan antara penduduk flat usang atau pangsapuri kos rendah.

PSB dengan jaminan penempatan semula cuba mengekalkan asabiyah tadi supaya pembangunan tidak menghapuskan solidariti yang telah terbina sekian lama.

Namun begitu, Ibn Khaldun juga memberi amaran bahawa kecenderungan berlebihan kepada materialisme boleh melemahkan asabiyah.

Jika kos sara hidup selepas pembangunan meningkat sehingga tidak mampu ditanggung penduduk asal, maka komuniti lama akan terurai dan digantikan oleh komuniti baru yang lebih mampu.

Perubahan itu akan menukar sifat solidariti daripada berpaksikan rakyat kepada solidariti kelas menengah yang lebih individualistik.

Dalam keadaan begitu, pembangunan fizikal wujud tetapi asabiyah asal musnah, menjadikan bandar kelihatan moden tetapi kehilangan kekuatan sosial.

Analisis Ibn Khaldun juga mengingatkan kita bahawa kuasa politik dan ekonomi mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju masyarakat.

Dalam pelaksanaan Akta PSB, kerajaan berperanan sebagai pengimbang antara kepentingan rakyat dan keuntungan pemaju. Jika gagal melindungi kedudukan rakyat, maka PSB hanya akan menjadi instrumen kapitalisme hartanah yang menguntungkan pihak tertentu tetapi meminggirkan penduduk asal.

Sebaliknya, jika kerajaan benar-benar memastikan kelangsungan komuniti asal sambil memperbaharui bandar, PSB akan melahirkan pembangunan yang seimbang, iaitu yang bukan sahaja mengutamakan kekuatan material tetapi juga mengekalkan kekuatan sosial.

Kesimpulannya, URA bukan semata-mata projek pembangunan bandar yang bertujuan menukar bangunan lama kepada bangunan moden. Ia merupakan ujian besar terhadap keupayaan negara mengekalkan solidariti sosial dalam menghadapi gelombang materialisme.

Jika berjaya dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan penduduk asal, memelihara identiti komuniti, serta menyeimbangkan kepentingan kerajaan, pemaju, dan rakyat, maka Akta PSB akan menjadi contoh pembangunan bersepadu yang mengharmonikan material dan sosial.

Namun jika ia hanya menekankan aspek fizikal semata-mata, maka ia berisiko mengulangi kitaran sejarah yang diingatkan oleh Ibn Khaldun, iaitu kejatuhan tamadun yang kelihatan maju tetapi rapuh kerana kehilangan asabiyah yang menjadi nadi kelangsungan masyarakat.


WAN MOHD AZZIADI WAN ABD JALIL ialah calon PhD di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS