Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menimbang semula rancangan untuk menjual aset lebuh raya di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Menurutnya, kajian strategik pelaburan terhadap aset berkenaan tidak wajar diteruskan sekiranya menjejaskan kepentingan negara dan Bumiputera.
"Selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara.
"Justeru, saya meminta PNB untuk meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan.
"Proses semakan ini tidak wajar diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, tidak jelas mengapa rancangan PNB itu menarik perhatian Anwar.
Semalam, PNB mengesahkan sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan aset Prolintas, namun menegaskan proses tersebut masih di peringkat awal.
PNB turut menjelaskan kajian strategik itu sebahagian daripada penilaian portfolio tetapnya yang dijalankan dari semasa ke semasa.
Menurut laporan The Edge, antara pihak yang berminat ialah IJM Corporation Bhd, yang turut memiliki konsesi beberapa lebuh raya melalui anak syarikatnya Besraya Sdn Bhd. Untuk rekod, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 18 peratus kepentingan dalam IJM.
PNB, menerusi unit amanah utamanya seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2, hampir sepenuhnya eksklusif kepada pelabur Bumiputera.
Bagi ASB perdana, data akhir 2023 menunjukkan hampir 78 peratus pelabur memiliki kurang daripada 5,000 unit, dengan pegangan kolektif hanya 2.85 peratus unit. Sebaliknya, 10 peratus pelabur teratas memegang antara 50,001 hingga lebih 500,000 unit atau 81 peratus keseluruhan unit.
Malah, 0.3 peratus pelabur teratas menguasai lebih daripada 500,001 unit — bersamaan 14.8 peratus pegangan dalam ASB.
