Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengembalikan semula tempoh Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) Malaysia Airlines (MAS) kepada tiga tahun, selepas memendekkan tempoh itu kepada satu tahun pada 2024.
Ketua pegawai operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB), Nasaruddin A Bakar, berkata CAAM baru-baru ini telah mengesahkan perkara itu.
“Kami baru sahaja menyiapkan audit. Banyak penambahbaikan telah dibuat dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, bukan hanya di Malaysia Airlines tetapi juga di seluruh kumpulan itu.
“Proses ini selesai kira-kira dua bulan lalu dan baru-baru ini kami dimaklumkan bahawa Malaysia Airlines telah memperoleh AOC untuk tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), sempena pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).
Turut hadir pengarah urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Izham Ismail, dan ketua pegawai komersialnya, Dersenish Aresandiran. MAG merupakan syarikat induk kepada MAB.
Audit dedah kelemahan teknikal
Pada Ogos tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tempoh AOC MAB dipendekkan daripada tiga tahun kepada setahun selepas pengawal selia mengesan beberapa kelemahan teknikal pada syarikat penerbangan milik kerajaan itu.

Menurut laporan The Edge, Loke berkata langkah itu diambil bagi memastikan MAB mematuhi pelan mitigasi yang digariskan oleh MAG.
Pelan itu difahamkan merangkumi pengukuhan keselamatan pesawat, pengambilan tenaga kerja berkemahiran, pengurangan pergantungan kepada penyedia penyelenggaraan pihak ketiga serta jaminan bekalan alat ganti enjin daripada pengeluar asal.
Loke turut memaklumkan bahawa MAG diarahkan menghantar laporan bulanan mengenai status pelaksanaan pelan tersebut, yang dirangka susulan gangguan penerbangan yang dikesan dalam audit CAAM antara 24 hingga 28 Jun tahun lalu. Audit itu mendedahkan beberapa kelemahan serius, termasuk kerosakan komponen mekanikal dan kekurangan juruteknik penyelenggaraan berkemahiran.
Usaha bersama bendung penyeludupan hidupan liar
Dalam sidang media sama, Izham turut menyentuh isu penyeludupan hidupan liar yang berulang kali berlaku melalui penerbangan Malaysia Airlines.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Loke serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani, dengan MAG menyuarakan kebimbangan mereka.

“Oleh itu, usaha membanteras penyeludupan ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Ia tidak boleh digalas oleh Malaysia Airlines atau MAG sahaja, tetapi memerlukan komitmen seluruh negara,” tegasnya.
Pada 13 Mac lalu, Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung peningkatan kes penyeludupan hidupan liar ke luar negara. Dia mengakui ia merupakan isu serius dan menuntut tindakan segera daripada pengendali lapangan terbang berkenaan.
Loke turut mempersoalkan bagaimana haiwan boleh terlepas ke lapangan terbang dan menaiki penerbangan penumpang walaupun semua bagasi telah melalui proses imbasan.
Malaysia kini muncul sebagai hab transit utama penyeludupan hidupan liar di Asia Tenggara dan disenaraikan antara 10 hab penyeludupan terbesar dunia menurut Indeks Jenayah Terancang Global.
Pada Jun tahun ini, KLIA turut dikenal pasti sebagai hab utama penyeludupan hidupan liar ke tiga lapangan terbang utama di India, selain sebuah lapangan terbang di Thailand.
