Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badrul Hisham bebas, majistret tolak permohonan polis
Diterbitkan:  Sep 6, 2025 9:15 AM
Dikemaskini: 7:10 AM

Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, petang ini dilaporkan bebas daripada tahanan polis selepas mahkamah menolak permohonan pihak berkuasa.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata polis memohon kepada majistret untuk menahan reman ahli politik terbabit selama empat hari.

Bagaimanapun, katanya, permohonan tersebut ditolak dan Badrul Hisham dibebaskan.

Badrul Hisham ditahan polis malam tadi terkait dakwaan membuat kenyataan menghasut dan memfitnah semasa berucapan dalam majlis politik di Bagan Serai, Perak.

Menurut Rafique, Badrul Hisam ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Tangkapan itu dibuat untuk siasatan mengikut Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Berdasarkan pautan TikTok yang dikongsi oleh Rafique, anak guamnya itu disiasat berhubung ucapan semasa ceramah pada 29 Ogos lalu.

Program berkenaan dinamakan sebagai Ceramah Perdana: Selamatkan Malaysia.

Dalam petikan video itu, Badrul Hisam kedengaran bercakap mengenai Raja-Raja Melayu dan dakwaan cubaan pihak tertentu untuk membuat orang Melayu hilang rasa hormat terhadap istana.

Sementara itu, JSJ Bukit Aman dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat ahli politik terbabit berhubung ucapannya.

Pengarahnya, M Kumar, berkata siasatan dimulakan selepas polis menemui klip video yang disiarkan pada akaun TikTok menunjukkan Badrul Hisham membuat kenyataan berbaur hasutan dan tidak berasas terhadap institusi diraja.

“Siasatan berhubung video tular ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya.

Kumar berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang menetapkan kesalahan berhubung tindakan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperkatakan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian).

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS