Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin menegaskan dia bukan pengkhianat kepada kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam parti itu.
Berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, Hamzah berkata dia adalah penyokong utama kepada Muhyiddin dalam memimpin parti.
Hamzah menegaskan dia akan terus bersama Muhyiddin dan Bersatu akan menjadi parti terakhirnya sampai mati.
"Saya nak sampaikan Tan Sri, percaya pada kami...kami di sini sayangkan Tan Sri, kami di sini sayangkan parti. Kalau nak pecatpun, parti mana lagi saya nak pergi, cukup ini parti terakhir saya.
"Percayalah, saya telah berkorban untuk parti ini, macam-macam saya telah lakukan...saya lakukan ini ikhlas. Saya lakukan untuk presiden kita. Jadi, janganlah hari ini anggap kita ini kumpulan pengkhianat.
"Saya nak maklumkan saya bukan pengkhianat, tapi saya seorang sahabat duduk di tepi presiden, ada kepada presiden, orang suruhan kepada presiden, tiada lebih daripada itu," katanya ketika berucap.

Malam tadi, kekecohan tercetus apabila Muhyiddin ketika menyampaikan ucapannya mendakwa wujud komplot untuk mengumpul tandatangan bagi menyingkirkannya.
Ucapan Muhyiddin itu disambut dengan jeritan “tidak benar " dan "Turun Tan Sri!”, sebelum dibalas dengan laungan “Hidup Tan Sri!” dari kumpulan lain.
Beberapa hari sebelum itu tular penyebaran surat layang yang memburukkan Hamzah dan mengaitkannya sebagai "broker" dalam parti itu.
‘Jangan dengar cucuk mencucuk’
Sementara itu, Hamzah berkata kekecohan yang berlaku semalam adalah perkara kecil dan ia tidak menjejaskan parti itu.

Timbalan presiden Bersatu itu juga membidas pihak yang suka "mencucuk" dalam parti bagi menimbulkan pergesaran dan suasana tidak harmoni.
"Sir believe me, im your man...jangan dengar cucuk mencucuk.
"Masalah kita hari ini adalah kerana ada orang yang belum tahu apa-apa cucuk...yang belum tahu apa-apa yang sebenarnya cucuk, yang belum tahu jantan betina cucuk, yang belum tahu depan belakang cucuk, ini bukan budaya kita," tegas Hamzah.
