Pergolakan dalaman Bersatu semakin jelas apabila presidennya, Muhyiddin Yassin berdepan desakan untuk berundur daripada jawatan parti, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong.
Menurut timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, suasana kecoh ketika perhimpunan agung Bersatu hujung minggu lalu – apabila ada perwakilan melaungkan desakan Muhyiddin supaya meletakkan jawatan – menunjukkan parti itu sebenarnya rapuh dan retak dari dalam.

Kata, pemimpin DAP itu,, ironik apabila Muhyiddin menegaskan parti itu bersatu padu, tetapi pada masa sama mengakui ada kumpulan mengumpul tandatangan untuk mendesaknya berundur.
“Muhyiddin cuba menampilkan imej wira parti, tetapi tindakannya hanya mendedahkan kedudukannya yang lemah.
“Bersatu bukan sahaja retak, malah terperangkap dalam kepimpinan tanpa prinsip jelas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sisa ‘Langkah Sheraton’
Liew turut mengingatkan bahawa kepimpinan Bersatu terbentuk daripada perpecahan parti-parti lain pasca “Langkah Sheraton” 2020, yang mempertemukan pemimpin tanpa agenda bersama.

“Gabungan Muhyiddin daripada Bersatu, Hamzah Zainudin daripada Umno, dan Azmin Ali daripada PKR hanyalah pakatan rapuh.
“Umno dan PKR sudah pulih, ruang Bersatu kini semakin sempit,” katanya.
Menurut Liew, terdapat tiga kesilapan besar dalam ucapan Muhyiddin pada perhimpunan itu, semulam.
Pertama, dengan menimbulkan isu desakan berundur, dia mendedahkan kelemahan sendiri.
Kedua, keghairahan Muhyiddin untuk kembali menjadi perdana menteri hanya menambah beban kepada Bersatu kerana rakan-rakan seperti Hamzah, Azmin dan PAS sendiri menyedari dia sudah hilang karisma dan kekuatan.

“Ketiga, Muhyiddin membaca keadaan politik secara salah. Dia enggan menerima hakikat penurunan pengaruhnya, lalu memilih untuk bertahan dengan apa cara sekali pun,” kata Liew.
Liew juga menegaskan Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kemuncak. Baginya, hanya PAS kekal bertahan di kubu Melayu, manakala pengaruh Bersatu semakin merosot.
“PN gagal menawan pengundi bukan Melayu, dan tidak meyakinkan pengundi di Sabah dan Sarawak. Kekecohan dalam Bersatu hanyalah simptom krisis yang lebih besar,” katanya.

Bagaimanapun, Liew mengingatkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional supaya tidak terlalu selesa walaupun PN berdepan masalah.
“Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sudah melakukan banyak perkara untuk rakyat, tetapi masih banyak yang perlu diteruskan. Jangan ambil mudah kelemahan lawan,” katanya lagi.
Sementara itu, ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Khairuddin Abu Hassan mengingatkan kepimpinan PN supaya menyelesaikan perbezaan pendapat melalui saluran dalaman dan bukan di khalayak umum.
Katanya, PN kini berada di landasan yang baik selepas pengerusinya berjaya mengembangkan kerjasama longgar dengan 12 pertubuhan politik yang tidak menyokong kerajaan perpaduan.

“PN sedang berada di landasan yang baik dan kita tidak boleh kelihatan berbalah sesama sendiri di kacamata rakyat.
Penambah-baikkan agenda PN sedang berlaku masa kini sebab itu mana-mana unsur yang tidak baik yang boleh melemahkan kedudukan kita harus dihindari sama sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khairuddin menegaskan bahawa kesetiakawanan dan perpaduan dalam kalangan komponen PN penting bagi mengelak persepsi negatif rakyat.
“Jangan izinkan rakyat mentohmah permasalahan PN pun sama dengan gabungan parti-parti politik kerajaan yang nampak kini sebagai marriage of convenient saja.
“Platform majlis kerja tertinggi PN merupakan satu saluran yang amat kondusif bagi membincangkan apa saja perbedaan pendapat secara tertutup.
“Kita tidak boleh membuka ‘pekung di dada’ kerana ia akan merugikan semua pihak,” katanya.

Sambil menyifatkan insiden kekecohan pada perhimpunan agung tahunan Bersatu hujung minggu lalu sebagai sesuatu yang memalukan, Khairuddin berkata, amalan tidak bertamadun serta tidak sihat itu jangan dibiarkan bertapak.
“Kita sokong atau tidak pada seseorang tokoh pemimpin itu ianya mesti dizahirkan melalui saluran yang betul serta peofessional.
“Kenapa harus melalak sedemikian rupa apabila perhimpunan agung itu diadakan untuk mengizinkan semua pihak melontarkan pandangan kepada tokoh-tokoh pemimpin atasan seperti termaktub dalam perlembagaan parti?” soalnya.
