Kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti gas asli cecair (LNG)di Sarawak dan Sabah.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, ini susulan ancaman yang diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia.

Katanya, seorang kakitangan Petronas menerima ancaman berkenaan yang dipercayai berkait permintaan tertentu daripada pengirim yang tidak menerima maklum balas daripada syarikat minyak dan gas negara itu.
“Dia minta menjawab sesuatu tapi sebab tak ada respons, dia mengugut untuk membakar LNG kita tapi tak tahu yang mana satu.
“Tapi siapa? (Itu) polis masih membuat siasatan, jadi sebagai langkah berjaga-jaga Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan (arahan) untuk meningkatkan kawalan keselamatan.
“Kita tak tahu sama ada akan berlaku di LNG di Bintulu ataupun di Sabah, sebab (ugutan) hanya menyatakan mengenai LNG,” katanya yang dipetik Benama selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fadillah, kakitangan Petronas ugutan itu datangnya daripada telefon yang menggunakan nombor berdaftar di Indonesia.

“SMS itu diterima daripada nombor Indonesia, namun polis sedang menyiasat perkara ini,” katanya lagi.
Semalam MKN dalam kenyataan memaklumkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG atau gas asli cecair di Bintulu, untuk memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.
Langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman itu.
"Orang ramai diingatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kenyataan ini. Perkembangan mengenai situasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik Petronas diperketatkan serta-merta.
Dia dilaporkan berkata polis telah menasihatkan Petronas supaya mempertingkatkan keselamatan di semua fasilitinya, sambil menegaskan bahawa kontinjen polis di seluruh negara akan membantu memastikan keselamatan pemasangan syarikat berkenaan.
“Pihak polis termasuk pasukan di kontinjen seluruh negara turut membantu meningkatkan keselamatan di semua fasiliti LNG Petronas bagi memastikan keselamatan fasiliti berkenaan berada dalam kawalan,” katanya ketika Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-218 di Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing turut memberitahu Malaysiakini bahawa polis telah dimaklumkan mengenai ancaman itu dan akan menggerakkan anggota Pasukan Gerakan Am sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan.

Petronas dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi tersebut.
Syarikat itu juga memberi jaminan bahawa operasi dan bekalan tidak terjejas, sambil menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan pekerja, kontraktor dan komuniti setempat kekal sebagai keutamaan utama.
Kompleks LNG Bintulu, yang dikendalikan Petronas melalui anak syarikatnya Malaysia LNG, merupakan salah satu fasiliti tunggal terbesar seumpamanya di dunia dan memainkan peranan penting dalam eksport tenaga Malaysia.
Eksport LNG dari kompleks itu – yang bersaiz lebih 200 padang bola – turut menjana hasil besar untuk negara serta menjadi pemacu utama ekonomi Sarawak dan Malaysia.
