Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mencabar penjelasan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung isu kemasukan ke universiti awam dengan mendakwa pelajar STPM dipinggirkan walaupun mereka melalui laluan lebih sukar berbanding program matrikulasi.
Mengambil contoh kes melibatkan pemohon STPM cemerlang, Edward Wong Yi Xian – yang memperoleh CGPA 4.0 dan markah kokurikulum 9.9 –, Umany mendakwa terdapat kelemahan ketara dalam sistem UPU.

Wong ditempatkan pada kedudukan ke-1,129 walaupun data KPT menunjukkan terdapat 1,127 pemohon dengan markah penuh.
“Umany menolak keras keputusan kementerian yang menyamakan STPM dengan matrikulasi. STPM diiktiraf jauh lebih ketat, termasuk oleh universiti terkemuka dunia seperti Cambridge,” kata persatuan itu.
Umany turut menjelaskan bahawa pelajar matrikulasi lebih mudah mengumpul markah kokurikulum, manakala pelajar STPM perlu memenuhi syarat yang lebih ketat,.
Sebagai contohnya hanya acara dengan pengiktirafan rasmi dan melibatkan sekurang-kurangnya lima daerah berlanan akan dikira sebagai peringkat negeri. Ini berbanding pelajar matrikulasi yang boleh menuntut acara "peringkat negeri" hanya dengan pengesahan daripada institusi mereka kerana setiap negeri hanya mempunyai satu kolej matrikulasi.

Selain itu, Umany turut mempersoalkan jumlah sebenar tempat yang ditawarkan. Walaupun KPT menyebut hanya 85 pelajar diterima ke program perakaunan UM melalui UPU, perwakilan pelajar daripada fakulti peniagaan dan ekonomi, pengambilan cohort 2024/25 sebenarnya sekitar 130 orang.
“Apakah mekanisme pemilihan daripada 1,127 calon yang memperoleh markah penuh?
“Bagaimana kedudukan ditentukan apabila semua sudah mencapai tahap maksimum?” soal Umany.
Mereka juga mendakwa dasar “10A” yang diumumkan kerajaan gagal meningkatkan bilangan kemasukan melalui UPU, sambil membangkitkan persoalan sama ada sebahagian tempat dialihkan melalui laluan Direct Intake.
Menurut Umany, keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa universiti awam semakin dikomersialkan, sedangkan tujuan asalnya ialah menyediakan pendidikan mampu milik dan adil untuk rakyat.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kisah pelajar cemerlang, Wong yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM bercita-cita menjadi seorang akauntan. Tetapi impiannya musnah apabila enam universiti menolak permohonannya.
Semalam, kumpulan itu juga mendakwa Wong sebaliknya telah ditawarkan tempat melalui laluan masuk terus yang lebih mahal, selepas dinafikan secara tidak adil untuk menyertai program perakaunan UM.
Umany menegaskan bahawa sejak Wong menerima tawaran pengambilan terus itu, ini membuktikan bahawa dia memenuhi syarat kelayakan untuk program tersebut.
Pada Julai lalu, kumpulan pelajar itu mengkritik sistem pengambilan langsung UM kerana didakwa mengetepikan pelajar STPM, sambil memetik jawapan parlimen Mac 2024 yang dilaporkan menunjukkan bahawa kurang daripada dua peratus pelajar STPM diterima masuk ke program yang sangat menjadi idaman seperti pergigian, farmasi dan perubatan.
Umany juga menyeru Kementerian Pengajian Tinggi supaya segera menerbitkan markah kemasukan minimum, nisbah UPU kepada pelajar pengambilan langsung, dan pecahan etnik untuk semua universiti dan semua program tahun ini.

“Kes Edward bukanlah satu insiden terpencil, Umany yakin bahawa ramai lagi pelajar cemerlang telah diketepikan secara tidak adil kerana kekurangan ketelusan dan keadilan dalam sistem UPU semasa.
“Hanya dengan menjadikan proses kemasukan UPU terbuka, telus dan standard, kita boleh benar-benar mencapai keadilan dalam pendidikan,” kata mereka.
