Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak MCA, susulan kenyataan presidennya, Wee Ka Siong yang semalam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di Universiti Malaya walaupun memperoleh keputusan yang baik.
Sehubungan itu, Adun Merlimau dan exco kerajaan negeri Melaka itu berkata, Wee perlu memohon maaf kerana mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Bila baca kenyataan awal dari YB (Wee) saya pun terasa kesian kenapa adik yang dapat keputusan yang baik ini tidak dapat tawaran belajar seperti yang diidamkan
“Tetapi akhirnya cerita yang sebenar adalah adik ini bukan tidak pandai,memang dia pandai,tetapi ada lebih ramai yang sangat pandai dan layak berbanding adik ini,” " katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Akmal, pelajar berkenaan mendapat merit 99.9 peratus tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar Malaysia yang dapat merit 100 peratus dan tempat adalah terhad di Universiti Malaya.
"Apabila YB menyalahkan sistem yang sudah rosak, saya menganggap itu adalah satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik KPT.
"Kita mendesak supaya YB dapat menyatakan permohonan maaf kepada KPT yang saya berasakan penjawat awam mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sangat baik tanpa ada rasa prejudis kepada mana-mana golongan dan itulah yang diterapkan kepada penjawat awam kita.
"Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan minta maaf ya," katanya.

Semalam, Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa Edward Wong seorang pelajar cemerlang STPM dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dinafikan peluang untuk menyambung pengajian ke program perakaunan di UM.
Menguls lanjut, Akmal turut melampirkan kenyataan media KPT bahawsa proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya sekali gus menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem UPUOnline.
Dalam kenyataan itu Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Azlinda Azman berkata daripada 109,866 permohonan yang layak, sebanyak 78,883 orang atau 71.8 peratus telah ditawarkan tempat di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.
Ia menyebut Edward sebenarnya memiliki merit 99.9 peratus, namun persaingan sengit berlaku apabila terdapat lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad.
Calon itu dikatakan berada di kedudukan 1,129 dan UM hanya menyediakan 85 tempat untuk diisi.
Sebelum ini, pelbagai phak menentang keras cara pengambilan kemasukan ke universiti awam dengan mendakwa pelajar STPM dipinggirkan walaupun mereka melalui laluan lebih sukar berbanding program matrikulasi dan program lain.
Selain STPM dan program matrikulasi, UPU juga menerima permohonan melalui kelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan program asasi universiti masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu berkata, cadangan supaya diwujudkan satu peperiksaan umum seragam bagi pelajar yang memohon ke universiti awam dianggap berpotensi, tetapi pelaksanaannya masih memerlukan kajian teliti.
Katanya, kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada asasnya menilai potensi murid secara menyeluruh, mengambil kira keseimbangan akademik dan pembangunan holistik.
Menurutnya, pelbagai laluan pendidikan – termasuk STPM, STAM, program asasi dan matrikulasi – diwujudkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada lepasan SPM, sesuai dengan kecenderungan dan potensi masing-masing.
“Setiap laluan mempunyai struktur pengajian dan kurikulum tersendiri. Oleh itu, pendekatan pentaksiran yang digunakan juga berbeza, selaras dengan objektif dan hala tuju program berkenaan.
“Sebarang perubahan perlu melalui kajian yang mendalam dan penilaian menyeluruh, agar kekal selari dengan komitmen KPM menyediakan akses pendidikan adil dan berkualiti kepada semua murid, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.
Keadaan sekarang yang menggunakan peperiksaan berbeza dikatakan menyukarkan asas perbandingan kecemerlangan dan konsistensi piawaian.
