Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mendedahkan bahawa dia pernah menegur keras presiden parti, Anwar Ibrahim, kerana melantik Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebagai setiausaha politiknya.
Dalam satu wawancara podcast yang menyingkap peristiwa menjelang “Langkah Sheraton” – yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pertama – Zuraida berkata diia meragui kredibiliti Farhash, yang ketika itu dianggap asing dalam kalangan pimpinan PKR.

Katanya, pemilihan Farhash oleh Anwar adalah satu lagi contoh apabila presiden PKR itu mengketepikan "pasukan" timbalan presiden ketika itu, Azmin Ali yang Zuraida adalah ahlinya.
“Dia (Anwar) tak nak kasi kita peluang sekalipun dari segi tu. Dan saya memang jumpa dengan Anwar, saya marah pasal kenapa lantik Farhash sebagai diae punya setiausaha politik yang orang kita tak kenal, dan mana datangnya.
“Lepas tu jadi setiausaha politik, lepas tu jadi kes polis, kes pistol dan macam-macam.
“Saya kata kamu ambik orang macam ni. Saya kata kenapa kamu tak ambik orang Abim orang-orang kamu yang dah a dan matang tu yang lebih baik buat kamu. itu memang saya serang Anwar.

Zuraida juga mengaku, ketika itu dia juga mengkritik setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
Abim merujuk kepada Angkatan Belia Islam Malaysia, sebuah pertubuhan yang pernah diterajui Anwar sejak zaman mahasiswa.
Zuraida turut mendedahkan banyak perbincangan berlangsung bersama Anwar ketika itu bagi berunding soal pelantikan sebelum mesyuarat agung tahunan PKR di Melaka.
Dia juga mendakwa bahawa perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, semakin hilang sabar dengan menteri-menteri DAP yang dituduhnya enggan mengikut arahan.

“Tun (Dr Mahathir) memang tak tahan lagi dengan DAP. Jadi dia pun kata dia pun tak tahan,” kata Zuraida.
Menurutnya lagi, sokongan terhadap Pakatan Harapan juga semakin merosot berikutan kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil.
Zuraida mendakwa Anwar pada masa sama terus-menerus mendesak Mahathir supaya menyerahkan kuasa kepadanya, yang menambah tekanan kepada kerajaan ketika itu.
“Ketika itu juga, kita punya sokongan pun merudum.. PH waktu semua pilihan raya kecil kita kalah. Power base kita tak ada lagi dah.

“Jadi lepas itu kita betgelut lagi nak stabilkan kerajaan, waktu itu menteri semua baru belajar kan? Jadi dalam keadaan itu si Anwar ni sibuk. Tukar, tukar, tukar, tukar. Itu membuatkan satu pergolakan saya dalam parti, sebab itu pergolakan kita dalam kabinet dan Tun dan sebagainya, Tidak gembira (not happy).
“Jadi kita kena buat sesuatu. Maksud saya orang-orang yang dekat dengan Tun, dia kena buat ssesuatu,” katanya lagi.
Azmin dan Zuraida dipecat
Pada 24 Februari 2020, PKR memecat timbalan presidennya ketika itu, Azmin Ali, bersama Zuraida, susulan krisis politik yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.
Pada hari yang sama, Azmin bersama 10 ahli parlimen lain mengumumkan mereka akan membentuk blok bebas di Dewan Rakyat, sebelum menyertai Bersatu pada minggu yang sama.

Pada 1 Mac, presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, dan tidak lama selepas itu Azmin dilantik sebagai menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri dalam kabinet baharu.
