Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan peintah injunksi larangan bagi menghalang Telegram daripada menyebarkan kandungan berbahaya yang didakwa menjejaskan institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.
Mahkamah juga membenarkan permohonan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memadam 33 artikel yang dipertikaikan dalam dua akaun Telegram – Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Peguam SN Nair, yang mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam saman berterusan terhadap aplikasi pemesejan itu, mengesahkan keputusan tersebut yang disampaikan oleh Hakim Mahazan Mat Taib di kamar pagi tadi.
Edisi Siasat adalah saluran Telegram tanpa identiti yang menerbitkan pelbagai dokumen, gambar dan dakwaan terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan — termasuk dari kerajaan terdahulu dan kini — serta sering mendakwa ia berdasarkan maklumat bocor dari dalaman agensi penguatkuasaan.
