Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan engkau tunggang pendedahan rasuah saya - Tei
Diterbitkan:  Sep 12, 2025 12:12 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Ahli perniagaan Albert Tei, yang mendedahkan dakwaan skandal perlombongan di Sabah, kecewa dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa Jabatan Peguam Negara masih belum memutuskan sama ada untuk mendakwa enam lagi anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dikaitkan.

Dia mengingatkan pihak terlibat supaya tidak cuba menunggang pendedahannya sebagai rundingan politik menjelang pilihan raya negeri Sabah.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada pemimpin politik yang berkuasa hari ini. 

“Jangan engkau cuba menunggang pendedahan dan aduan saya sebagai bahan tawar-menawar atau ugut-mengugut dalam rundingan serta kepentingan bagi agenda politik kamu di Sabah.”

“Jika SPRM dan peguam negara sanggup ditunggang oleh pemimpin politik kerajaan tertentu untuk memenuhi kerakusannya, saya akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya serta tindakan susulan yang agak luar biasa untuk mengangkat skandal ini ke peringkat global. 

“Saya hanya mahu menuntut keadilan untuk diri saya sendiri, saya akan melawan sesiapa pihak yang cuba menghalang atau berniat untuk menutup kes tersebut.”

Tei berkata selepas skandal itu diketengahkan oleh Malaysiakini pada November lalu, dia dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selama tujuh hari.

“Hari yang paling sukar bagi saya adalah pada 13 Mac tahun ini, saya telah dirakam keterangan sejak jam 10 pagi sehingga 9 malam selama 11 jam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ditemani dengan peguam saya Encik Mahajoth Singh.

“Saya telah menyerahkan banyak rakaman video yang ditangkap melalui kamera pengintip, hampir 300 muka surat bukti seperti jejak wang, rekod bank, pelbagai dokumen, surat-menyurat bertulis, masa dan lokasi kejadian kepada SPRM. 

“Saya juga menyerahkan telefon bimbit saya yang mengandungi rekod perbualan WhatsApp dengan kesemua suspek lapan Adun dan seorang speaker DUN kepada SPRM,” katanya.

Tei berkata, dia malah mengemukakan bukti “lebih kukuh” menyokong serta mengesahkan elemen dan unsur rasuah berkaitan enam orang itu, berbanding Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob yang telah dituduh di mahkamah.

Keenam-enam mereka adalah Timbalan Ketua Menteri II, Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Negeri, Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Arifin Arif; Adun Kuamut, Masiung Banah; Adun Kemabong, Rubin Balang; dan Adun Tempasuk, Arsad Bistari.

Tei seterusnya membentangkan rakaman video dan tangkap layar WhatsApp, yang mengaitkan speaker Dewan Undangan Negeri, Kadzim Yahya.

Semua yang terbabit adalah daripada gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekutu Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin bertanya kepada peguam negara dan pendakwa raya yang terlibat dalam kes ini, skandal rasuah ini didedahkan sejak hujung bulan Oktober tahun lalu, hampir setahun. SPRM telah memulakan siasatan sejak bulan Disember tahun lalu, 10 bulan masa telah berlalu, apa hasil siasatan dan cadangan pertuduhan daripada SPRM? 

“Mengapa pendakwa raya masih gagal menuduh selebihnya 6 Adun dan seorang speaker DUN yang terbabit ke mahkamah? Perlu menunggu berapa lama lagi? 

“Sebaliknya saya selaku pemberi maklumat yang mendedahkan kegiatan rasuah terbesar dalam sejarah Sabah pula dituduh ke mahkamah dengan proses yang cacat dan bertentangan dengan amalan pendakwaan seperti biasa.

“Segala fakta, bukti dan modus operandi berhubung tuduhan terhadap selebihnya 6 Adun dan seorang Speaker DUN tersebut adalah sama, adakah gara-gara mereka berada bawah payung kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadikan mereka kebal daripada tindakan undang-undang, tidak dapat disentuh?”

Tei, yang dia sendiri didakwa memberi rasuah sebagai pertukaran untuk lesen perlombongan mineral, menyelar kenyataan Azam sebagai tidak masuk akal, dengan mengatakan ia mencerminkan sistem penguatkuasaan undang-undang yang rosak dan hancur.

Pada Jun lalu, enam lagi pemimpin tertinggi dari GRS dibabitkan dalam skandal itu. Bagaimanapun, SPRM tidak mengulas mengenai pendedahan itu walaupun parti pembangkang di Sabah menyeru agar siasatan dijalankan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS