Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang tanya calon PM sebab tak yakin PM sekarang, kata PAS

MUKTAMAR PAS | PAS mendakwa isu calon perdana menteri dibangkitkan oleh banyak pihak kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan sedia ada.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ada sebab mengapa orang ramai bertanya siapakah pemimpin yang layak diangkat sebagai ketua kerajaan.

"Hari ini orang mula bincang siapa bakal PM (perdana menteri). Kenapa ramai tanya siapa yang akan jadi PM? Ramai yang tanya PAS, siapa tokoh PM…

“Kenapa mereka tanya kami? Kenapa mereka tanya PN?

"(Sebabnya) Kerana mereka hilang kepercayaan dengan menteri yang ada, kerana mereka tak yakin dengan PM.

“Rakyat mencari-cari tokoh baru yang akan menerajui kerajaan," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS di Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah, hari ini.

Isu calon perdana menteri bukanlah asing kepada PAS. Baru-baru ini parti itu membayangkan rasa kurang senang mereka terhadap langkah sepihak Bersatu menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pembangkang.

Menganggap ia sebagai hak Bersatu yang perlu dihormati, parti itu menyatakan kesediaan mereka jika ada calon lain yang mahu dinamakan mengikut pandangan masing-masing.

Sebelum ini pun PAS menasihatkan Bersatu agar berunding terlebih dulu sebelum membuat sebarang pengumuman melibatkan PN, khususnya menyenyuh persoalan dasar.

Kemelut itu juga berlaku di sebalik dakwaan persaingan dalaman melibatkan Muhyiddin dan timbalannya, Hamzah Zainudin.

Pada masa sama persepsi awam kepada kerajaan perpaduan juga belum benar-benar kukuh apabila rakyat berdepan dengan pelbagai isu termasuk kos sara hidup.

Tuan Ibrahim berkata, dia yakin PN akan menjadi kerajaan sekali lagi selepas PRU ke-16 nanti.

Jurang semakin lebar

Dia yang juga bekas menteri alam sekitar dan air juga mendakwa, PAS menggunakan nama Islam dalam langkahnya supaya mereka tidak berbohong kepada rakyat ketika ia semakin diterima ramai.

"Ada orang berkata PAS gagal kerana menamakan parti dengan nama Islam. Kalau kita tak pakai nama Islam, mungkin orang sokong kita.

"Saya nak tegaskan, banyak parti yang tak ada jenama nama Islam masih tak dapat sokongan rakyat.

"Sekali kita namakan parti kita dengan nama Islam untuk beritahu yang kita tak berbohong dengan rakyat, kita bawa agenda Islam yang Allah pandukan kita, agenda untuk menyelamatkan negara tanpa mengira kaum dan bangsa," katanya.

Sementara itu Tuan Ibrahim juga menegaskan sesebuah kerajaan yang “dibina atas pembohongan” tidak akan mampu bertahan lama.

Katanya tidak ada guna kerajaan menguar-uarkan kejayaan menerima pelaburan berbilion ringgit ketika subsidi untuk rakyat dicatu atau berdepan dengan himpitan hidup.

"Besarnya jurang ekonomi yang semakin hari semakin lebar… sampai masa untuk kita sama-sama bangkit menolak pemimpin yang suka berbohong. Pemimpin yang suka berjanji tapi tidak tunaikan.

"Saya ulang – kerajaan yang dibina atas asas pembohongan tidak mungkin boleh akan bertahan," katanya.

Walaupun tidak memetik sebarang nama, dipercayai Tuan Ibrahim mengaitkan kenyataan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal dalam membawa reformasi yang dijanjikan sebelum menubuhkan kerajaan.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyeru agar PAS membawa gagasan PAS Untuk Semua yang didakwanya bukan sekadar teori kosong sebaliknya dipraktikkan di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti itu.

Katanya PAS membawa agenda kerajaan yang adil kepada semua tanpa mengira kaum dan agama, selain menjaga perpaduan.

"Yang miskin mesti dibela, yang susah mesti ditolong, dan yang kaya mesti bertanggungjawab membantu golongan miskin," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS