Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Majlis Tertinggi PN bincang, putuskan calon PM minggu depan

MUKTAMAR PAS | Pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat pada minggu akan datang untuk membincangkan dan memutuskan calon perdana menteri, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Ini berikutan desakan PAS agar parti itu dibenarkan mengetuai PN, yang berbeza dengan resolusi Bersatu semasa mesyuarat agung tahunannya dua minggu lalu yang mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Bercakap kepada pemberita di Kedah pagi ini, Presiden Bersatu itu berkata dia menghormati hasrat PAS tetapi menyerahkan keputusan itu kepada Majlis Tertinggi PN.

"Itu adalah hak bagi PASuntuk mencalonkan apa, baik dari segi soal pengerusi PN ataupun calon perdana menteri.

"Masing-masing sudah menyuarakan pandangan di muktamar masing-masing. (Seperti juga) kami di perhimpunan agung (Bersatu).

"Tadi pun saya dah maklum Tok Guru (Hadi), kami akan panggil mesyuarat tertinggi PN dan perkara itu akan dibincang dan diputuskan di situ. Mungkin dalam seminggu ke depan inyha-Allah," katanya ketika ditemui pemeberita selepas menghadiri majlis perasmian Muktamar PAS ke-71 di Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN sentiasa terbuka untuk rundingan dan perbincangan.

“Tiada masalah untuk berbincang, dan jika majoriti sudah mencapai keputusan muktamad mengenai siapa (akan pimpin PN), kita akan terima,” katanya.

Muhyiddin juga menafikan khabar angin bahawa terdapat keretakan antara Bersatu dan PAS, mengatakan mereka telah bekerjasama dengan baik.

Sebaliknya, Hadi memberitahu sidang media bahawa PAS mahu fokus memenangi pilihan raya dahulu.

Hanya selepas mendapat kemenangan, PN akan memutuskan siapa yang menjadi perdana menteri, katanya.

“PAS sedia menerajui Malaysia (tetapi) keutamaan kita sekarang ialah memenangi pilihan raya. Kita perlu mendapatkan sokongan untuk memenangi pilihan raya.

“Isu siapa yang akan memimpin... ia akan diputuskan secara dalaman oleh PN,” katanya.

Bersatu dan PAS dilihat tidak sefahaman mengenai siapa yang akan dinamakan oleh gabungan mereka sebagai calon perdana menteri untuk pilihan raya umum akan datang.

Ini berlaku selepas perhimpunan Bersatu mencalonkan Muhyiddin, keputusan yang nampaknya tidak disenangi PAS.

Susulan itu, Pemuda PAS pada muktamarnya pada Jumaat meluluskan ketetapan untuk mendesak kepimpinan parti mengambil alih tampuk pemerintahan PN, dengan berkata sudah tiba masanya PAS menerajui gabungan itu dan seterusnya negara.

Hadi dalam ucapan dasar pagi ini juga menggambarkan parti itu sudah bersedia untuk mentadbir Malaysia.

Sementara itu,Muhyiddin turut menyatakan hasratnya untuk melihat semua parti komponen PN menggunakan logo gabungan itu pada pilihan raya umum (PRU16) akan datang termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia akan menyerahkan perkara itu untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan PN.

"Adalah menjadi hasrat saya (menggunakan logo PN di semua negeri), kerana kita dalam gabungan. Seperti di Kedah dan Perlis, kita menggunakan logo PN (pada pilihan raya umum ke-15) dan ternyata okey.

“Tetapi PAS mahu terus menggunakan logo mereka di Kelantan dan Terengganu, jadi kami bersetuju untuk mereka menggunakan logo PAS di sana.

"Melangkah ke hadapan adalah lebih baik jika kita semua menggunakan (logo) yang sama. Ini adalah hasrat saya tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan, terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Pada Sabtu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin semasa sidang media mencadangkan calon PN bertanding di bawah panji PAS di empat negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS