Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Umany isu gesa mansuh matrikulasi
Diterbitkan:  Sep 16, 2025 9:38 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Polis sedang menyiasat gesaan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) supaya kerajaan memansuhkan sistem matrikulasi dan menggunakan keputusan STPM sebagai penanda aras tunggal untuk kemasukan ke universiti awam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, M Kumar berkata lima laporan polis telah dibuat terhadap kesatuan pelajar itu, berhubung kenyataan mereka.

Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sehingga kini, empat laporan polis tambahan telah diterima daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu," katanya.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menghukum kenyataan yang dianggap menyumbang kepada kerosakan awam, dibuat dengan niat untuk menyebabkan, atau yang berkemungkinan menyebabkan, ketakutan atau kegentaran awam. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada 13 Sept, Umany memohon maaf atas cadangan awal untuk memansuhkan sistem matrikulasi, mendakwa ia memilih istilah yang salah untuk mencadangkan penggabungan dengan peperiksaan STPM.

Ia juga menegaskan bahawa cadangannya untuk melaksanakan "sistem peperiksaan bersepadu" tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman, tetapi berakar umbi dalam keperluan untuk proses kemasukan universiti yang lebih adil dan telus.

Mereka berkata cadangan itu adalah untuk menambah baik sistem semasa supaya ia menjadi lebih adil dan telus, sekali gus menangani punca ketidaksamaan dalam kemasukan pelajar ke universiti.

Mereka juga menggesa ahli politik tidak memanipulasi isu itu menjadi isu perkauman.

Pada 12 Sept, Umany menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang menekankan cadangan itu sebagai cara paling berkesan untuk menangani kebimbangan mengenai kuota kemasukan universiti awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS