Banjir dan kejadian tanah runtuh yang melanda Sabah baru-baru ini dianggap banyak pihak sebagai tragedi yang sebenarnya boleh dijangka dan dielakkan.
Dengan 14 nyawa terkorban dan ratusan keluarga hilang tempat tinggal, Sabah sekali lagi diingatkan bahawa negeri itu masih belum memiliki sistem berkesan untuk menangani bencana berulang.
Banjir, tanah runtuh dan ribut taufan kini dihadapi setiap tahun khususnya di pantai barat serta pedalaman Sabah. Bagi ramai penduduk mereka lebih bimbang keciciran bantuan berbanding bencana itu sendiri.
Neil Stephen, 47, seorang peniaga dari Penampang, berkata apa yang paling menakutkan orang ramai ialah menunggu bantuan yang tidak kunjung tiba.
“Kita tidak boleh kawal cuaca, tetapi kita boleh kawal operasi menyelamat dan pemulihan. Itu yang mesti dipertingkatkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berharap Sabah akan menubuhkan sebuah unit tindak balas bencana tetap yang sentiasa bersiap siaga, dengan jentolak, pengendali terlatih, serta teknologi untuk menghantar bantuan ke kawasan yang terputus hubungan.
Tidak kurang penting, kata Stephen, sukarelawan juga perlu diberi latihan mencukupi agar mereka boleh membantu pasukan penyelamat tanpa membahayakan diri sendiri.

Dia berkata penggunaan dron boleh dimanfaatkan dan bukan bukan sekadar merakam imej selepas bencana, tetapi juga bagi menghantar makanan, ubat-ubatan, serta amaran kepada kampung yang tiba-tiba terputus akibat banjir.
Sumber dari dari media sosial
Seorang lagi penduduk Penampang, Daniel Joseph, 39, menceritakan rasa cemas penduduk apabila hujan turun tanpa henti.
“Apabila ia berlarutan enam atau tujuh jam, orang mula panik. Kami rasa terperangkap, tidak tahu sama ada jalan ditutup, sama ada kami boleh sampai ke tempat selamat, atau sama ada bekalan boleh diperoleh,” katanya.
Dia berkata kebanyakan orang bergantung kepada Facebook dan kumpulan WhatsApp untuk mengetahui penutupan jalan dan bukannya saluran rasmi.

“Kalau saya mahu keluar memandu, saya kena tanya orang: Jalan ini selamat tak? Jambatan itu masih ada tak? Sepatutnya kerajaan yang beritahu kami, bukan sebaliknya,” ujarnya.
Bagi Joseph, peta banjir berpusat – seperti aplikasi navigasi yang dikemas kini dalam masa nyata – sepatutnya sudah wujud.
“Sebaliknya, jawatankuasa bencana hanya keluarkan kenyataan. Itu tidak cukup. Setiap kali salah pilih jalan boleh meragut nyawa,” tambahnya.
Bagi Alot Henry, 49, seorang pensyarah dari Penampang, musim hujan kali ini benar-benar menguji kesabarannya.
“Setiap musim hujan, kisahnya sama: jalan ditenggelami air, keluarga terkandas, sekolah ditutup. Tetapi kali ini, hati saya betul-betul hancur.
“Nyawa melayang. Bukan sekadar rumah, bukan sekadar kereta – tetapi nyawa manusia. Ia boleh jadi sesiapa sahaja antara kita,” katanya.
Henry juga kecewa dengan tindakan bersifat sementara yang menyebabkan penduduk terpaksa membersihkan lumpur saban tahun.
“Kita tidak boleh hanya sapu lumpur dan tunggu derma setiap tahun. Kita perlu bersedia, bukan sekadar bertindak balas,” katanya.
Aktiviti kuari tanpa kawalan, cerun digondol
Henry berpendapat pihak berkuasa di Sabah sepatutnya menyediakan aplikasi pelaporan banjir - seumpama Waze atau Google Maps - yang membolehkan penduduk berkongsi maklumat dalam masa nyata dan menerima amaran sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Aktiviti kuari tanpa kawalan dan penggondolan bukit di sekitar Penampang, tambahnya, turut memburukkan lagi keadaan banjir.
“Bukan rahsia, tengok saja bukit di Google Maps – sudah botak semuanya,” katanya.
Dia turut mencadangkan agar rumah ibadat seperti gereja, masjid dan tokong dilatih menjadi pasukan pertama bertindak, dengan bekalan asas sentiasa tersedia untuk komuniti mereka.

Kampung-kampung juga, katanya, sepatutnya mempunyai “penjaga banjir” iaitu penduduk setempat yang dipercayai, dilengkapi radio dan bajet kecil untuk menyelaras tindakan apabila bencana melanda.
Bagi Henry, apa yang penting adalah sebuah pusat maklumat yang boleh dipercayai. Katanya, orang ramai sudah penat mendapatkan maklumat daripada kumpulan- kumpulan WhatsApp dan hantaran Facebook, namun tidak pasti kesahihannya.
“Ini bukan keajaiban tetapi sistem yang sepatutnya sudah wujud. Ini bukan sekadar soal banjir, tetapi tentang nyawa yang sudah hilang dan nyawa yang masih boleh diselamatkan jika kita bertindak sekarang.
“Kita perlukan pasukan khas bencana Sabah, digerakkan dengan teknologi sebenar, manusia sebenar, dan keutamaan sebenar,” tegasnya.
Kelewatan tindakan jelas dilihat selepas kejadian tanah runtuh di Kg Sarapung, Penampang, yang menimbus sebuah rumah. Anggota bomba terpaksa berjalan tiga kilometer kerana laluan terputus akibat banjir.
Mereka menunggu kehadiran jentolak yang tidak kunjung tiba, menyebabkan penduduk menggali dengan hanya menggunakan penyodok.
Mayat seorang lelaki berusia 97 tahun akhirnya ditemui, yang menjadi korban pertama di Sabah. Mayatnya terpaksa diusung dengan meredah lumpur hampir satu kilometer.
Beberapa hari kemudian, tragedi berulang di Papar apabila seorang lelaki dirakam merayu dalam keadaan terdesak agar dibawa jentera untuk menyelamatkan isteri dan anak lelakinya berusia 11 tahun selepas rumah mereka tertimbus.
“Saya sanggup bayar berapa pun. Tolong dapatkan jentolak, selamatkan isteri dan anak saya,” rayunya dalam video yang tular. Beberapa jam kemudian, kedua-duanya ditemui sudah meninggal dunia.

Di Kg Cenderakasih, berhampiran Kota Kinabalu, 11 sekeluarga turut tertimbus dalam satu lagi kejadian tanah runtuh.
Secara keseluruhan, seramai 2,533 orang daripada 668 keluarga di 96 kampung masih terkesan. Angka ini kekal di Beaufort, Tawau, Membakut dan Putatan; menurun di Penampang tetapi meningkat di Papar.
Rentetan bencana ini menyebabkan kemarahan orang ramai yang percaya nyawa melayang kerana jentera dan bantuan gagal digerakkan dengan segera.
