Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan Rosmah singkir hakim bicara kes solar

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Zaidi Ibrahim mendapati tiada merit untuk menyokong rayuan tersebut.

“Hakim tidak silap ketika menolak permohonan penyingkiran itu pada waktu berkenaan,” katanya semasa membacakan keputusan panel.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu merayu keputusan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Zaini Mazlan – yang kini dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan – yang menolak permohonan Rosmah supaya dia menarik diri daripada membicarakan kes tersebut.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.

Zaidi berkata Rosmah gagal membuktikan adanya risiko sebenar berlaku berat sebelah, seperti yang didakwa dalam permohonan penyingkiran hakim dan rayuannya.

Menurutnya, hal ini kerana dokumen yang dipertikaikan dalam kes ini berbeza secara ketara dengan penghakiman sebenar Zaini yang mensabitkan Rosmah atas pertuduhan rasuah.

“Ada dua dokumen, iaitu satu draf pendapat setebal 71 muka surat yang didakwa disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan satu lagi draf penghakiman hakim perbicaraan setebal 116 muka surat.

“Setelah meneliti dan membaca kedua-dua dokumen tersebut, jelas pada pandangan kami memang terdapat perbezaan yang ketara antara dokumen-dokumen itu.

“Ia selari dengan keputusan hakim perbicaraan pada masa berkenaan, di mana beliau menyatakan telah menyiapkan sendiri kajian dan penghakiman tanpa bergantung pada pendapat pihak ketiga,” katanya.

Permohonan Rosmah singkir hakim pada 2022

Rosmah memfailkan permohonan menggugurkan hakim berkenaan pada 30 Ogos 2022, hanya dua hari sebelum Zaini dijadual menyampaikan keputusan kes rasuahnya.

Permohonan itu difailkan susulan kebocoran satu dokumen yang didakwa ditulis oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes solar terbabit, di mana Rosmah mendakwa wujud risiko berlakunya berat sebelah sekiranya Zaini tidak menarik diri, selain mendakwa dia hilang kepercayaan terhadap hakim itu selepas kebocoran berlaku.

Pejabat pendaftar Istana Kehakiman telah membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran tersebut.

Hakim Mahkamah Rayuan Zaini Mazlan

Pada 1 Sept, Zaini menolak permohonan Rosmah dengan menegaskan bahawa dokumen yang bocor hanyalah draf pendapat yang disediakan oleh unit berkenaan, dan dia tidak pernah bergantung pada pandangan pihak ketiga kerana sentiasa menyiapkan kajian sendiri dalam menulis penghakiman.

Pada hari yang sama, Zaini mensabitkan Rosmah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Satu pertuduhan melibatkan permintaan rasuah sebanyak RM187.5 juta, manakala dua lagi pertuduhan melibatkan penerimaan rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan Projek Sistem Solar Hibrid Fotovoltaik Bersepadu serta kerja penyelenggaraan dan operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, Rosmah diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Zaini.

‘Tiada siapa nafikan kewujudan dokumen bocor’

Peguam Rosmah mengesahkan kepada pemberita selepas prosiding hari ini bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Peguam Jagjit Singh, ketika meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan itu, berkata panel hakim tidak menangani isu pokok yang dibangkitkan dalam rayuan mereka, iaitu kewujudan dokumen yang bocor dan risiko berat sebelah terhadap kes Rosmah.

“Pada pandangan saya, untuk mengatakan kami kalah dalam rayuan ini adalah satu ungkapan yang meremehkan. Berdasarkan fakta, sepatutnya perkara ini ditangani dengan cara yang berbeza," jelasnya.

Sementara itu, Akberdin Abdul Kader berkata rayuan substantif Rosmah berhubung sabitan dan hukumannya akan ditangguhkan, sementara menunggu keputusan rayuan penyingkiran hakim di Mahkamah Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS