Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dituduh makan kedai tak halal, Zafrul terpaksa kongsi sijil Jakim
Diterbitkan:  Sep 17, 2025 1:47 PM
Dikemaskini: 7:09 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan penjelasan kedai.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terpaksa berkongsi sijil halal sebuah restoran Cina dikunjunginya setelah diserang pengguna maya.

“Semasa saya pergi ke kedai, saya tengok sijil halal di sana. Gambar sijil halal pun saya ada kongsi di post (hantaran media sosial). 

“Ada yang kata bila check (periksa) di laman web Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sijil halal dah ditarik balik, tapi bila kita tengok ada sijil halal di kedai, jaranglah kita nak double check di portal pula. 

“Insya-Allah, kita sama-sama mengingatkan antara kita,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi teguran.

Zafrul kelmarin berkongsi gambar dia dan keluarga menikmati hidangan di restoran yang mempunyai pengiktirafan Michelin itu.

Mereka antaranya menikmati laksa, kuetiau udang dan telur dadar tiram. 

“Panjang betul orang beratur kat Penang Road Famous Laksa. Betullah kata orang, kalau sedap, memang orang sanggup beratur. 

“Tambah lagi restoran yang ada pengiktirafan Michelin! Bukan senang nak dapat tau. 

“Dah habis laksa, kita sambung pula dengan cendol. Tak sah datang Penang kalau tak pekena cendol. 

“Kalau you all datang Penang, bolehlah cuba singgah kat sini. Memang best!” katanya.

Bagaimanapun, ramai pengguna maya mempertikaikan tindakannya makan di kedai Cina.

“Kami orang Penang pun tak masuk sebab terang-terang kedai Cina. Kedai Melayu berlambak lagi ada,” kata seorang pengguna.

“Makanan yang syubhah (meragukan), astaghfirullahalazim,” kata seorang pengguna lain.

‘Ketika Zafrul makan, masih ada sijil halal’

Sementara itu, akhbar berbahasa Mandarin Guang Ming Daily semalam melaporkan sijil halal restoran itu dibatalkan pada bulan Jun, sedangkan Zafrul makan di kedai mereka pada Mei.

Pemilik kedai Leow Woo Taid mendakwa pembatalan pensijilan halal juga tidak berkain dengan bahan-bahan makanan, tetapi kerana isu peluasan kedai ke unit sebelah.

Leow berkata, selepas pensijilan halal dibatalkan, kedai itu telah menurunkan sijil berkenaan.

“Kedai kami bukan seperti yang didakwa oleh netizen, kononnya tidak mempamerkan sijil halal semasa tempoh pensijilan. 

“Sebenarnya, sijil itu sentiasa dipamerkan di dalam kedai sehinggalah ia dibatalkan.”

Katanya, walaupun pensijilan halal dibatalkan, pelanggan tetap beragama Islam yang mengetahui perkara itu masih terus berkunjung ke kedainya.

“Kami tidak menyembunyikan apa-apa, cuma kehilangan pengiktirafan rasmi buat sementara waktu.

“Ramai pelanggan setia memahami keadaan dan memilih untuk terus mempercayai kami,” katanya.

Leow juga berkata mereka bersedia untuk memohon semula sijil halal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS