Saya pernah menjejakkan kaki ke 41 buah negara di pelbagai benua. Dari masjid tua yang berlumut di Maghribi hingga ke menara kaca berkilauan di Dubai, dari kesunyian padang pasir Sahara hingga ke denyut kota Istanbul, saya menyaksikan wajah-wajah Islam dalam seribu satu ragam.
Hampir semua negara Islam pernah saya kunjungi, ada yang kaya dengan minyak, ada yang sarat dengan sejarah, dan ada juga yang bergelut dengan perang serta kemiskinan. Namun dalam setiap perjalanan itu, saya membawa satu pertanyaan yang tidak pernah terjawab: mengapa umat Islam yang ramai dan kaya ini tetap tidak berdaya mempertahankan maruahnya sendiri?
Pertanyaan itu kembali bergaung dalam jiwa saya apabila menyaksikan berita persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Qatar baru-baru ini. Banyak yang dicanang sebelum berlangsungnya persidangan itu, kononnya akan lahir satu suara padu menentang kekejaman Israel di Gaza, kononnya dunia Islam akan bangkit dengan maruah yang sudah lama terbenam.
Tetapi apabila tirai ditutup, hasilnya hanya sebuah resolusi rasmi pucat, lesu, dan tidak berjiwa. Lebih memilukan, ada kalimat yang bagaikan tamparan ke wajah umat Islam sendiri: “menyokong usaha Amerika Syarikat untuk menghentikan pencerobohan di Gaza.”
Bukankah itu sebuah ironi yang melucukan, kalau tidak mahu disebut menjijikkan? Negara yang membekalkan senjata kepada Israel, negara yang menjadi pelindung paling setia rejim Zionis, kini dijadikan sandaran oleh OIC untuk menghentikan pertumpahan darah umat Palestin.
Luka Baitulmuqaddis
Untuk memahami kehampaan hari ini, kita perlu menoleh ke belakang. OIC lahir pada tahun 1969, berikutan tragedi pembakaran Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis oleh seorang pelampau Yahudi dari Australia. Peristiwa itu membangkitkan kejutan dan kemarahan dunia Islam, sehingga Raja Faisal dari Arab Saudi, bersama Raja Hassan II dari Maghribi, menggerakkan sidang kemuncak pertama di Rabat.
Dari situlah lahir Pertubuhan Persidangan Islam (kini dinamakan Pertubuhan Kerjasama Islam, namun singkatannya masih OIC), yang bertujuan kononnya menjadi payung kesatuan umat Islam sejagat. Matlamat utamanya jelas: membela Palestin dan menjaga kesucian Masjid al-Aqsa.
Seiring masa, OIC berkembang menjadi pertubuhan antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan lebih 50 negara anggota. Ia memiliki sekretariat tetap di Jeddah, resolusi demi resolusi, sidang demi sidang. Namun dari awal lagi, ia dibelenggu oleh kepentingan politik dalaman, perpecahan mazhab, serta perebutan kuasa antara negara anggotanya.
Harapan pernah menyala
Tidak adil jika dikatakan OIC hanya gagal. Ada juga kejayaan kecil yang pernah memberi sedikit sinar harapan.
Bosnia pada 1990-an
Ketika umat Islam Bosnia disembelih di tengah-tengah Eropah oleh tentera Serbia, OIC memainkan peranan membawa isu itu ke PBB. Tekanan diplomatik OIC, meskipun terbatas, sedikit sebanyak membantu membuka jalan kepada penglibatan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada Perjanjian Dayton 1995.
Saya sendiri pernah melawat Sarajevo selepas perang, melihat masjid-masjid yang rosak, kuburan yang bertaburan di bukit-bukit. Di sana, saya mendengar rakyat Bosnia menyebut bahawa sokongan dunia Islam walaupun lewat dan kecil tetap memberi makna moral bahawa mereka tidak bersendirian.
Somalia pada 1990-an
Begitu juga dengan Somalia yang tenggelam dalam perang saudara. OIC ketika itu menyalurkan bantuan kemanusiaan, mengatur kerjasama dengan agensi bantuan lain, dan cuba menjadi jambatan untuk keamanan. Walaupun Somalia masih rapuh hingga kini, usaha kecil OIC pada era itu pernah memberi secercah harapan kepada rakyat yang kelaparan dan kehilangan negara.
Gagal Menjadi Payung Umat
Namun, dua contoh itu hanya percikan kecil dalam lautan kegagalan besar.
Rohingya di Myanmar
Di sempadan Bangladesh, melihat wajah-wajah pelarian Rohingya yang kehilangan keluarga. Mereka lari dari rumah yang dibakar, wanita diperkosa, kanak-kanak dibunuh. Tetapi OIC hanya mengeluarkan kenyataan demi kenyataan, resolusi demi resolusi. Tiada tindakan tegas di mahkamah antarabangsa, tiada boikot ekonomi, tiada kekuatan diplomasi kolektif. Akhirnya, umat Rohingya terus terdampar di khemah-khemah, bergantung pada belas ihsan dunia luar.
Kashmir yang tak pernah selesai
Begitu juga dengan Kashmir, luka lama sejak 1947. OIC telah berulang kali membincangkannya dalam sidang-sidang mereka, tetapi tiada sebarang tekanan bermakna terhadap India. Malah, beberapa negara Islam memilih berdiam diri demi menjaga hubungan perdagangan dengan New Delhi. Akhirnya, penderitaan rakyat Kashmir hanya menjadi bahan ucapan tahunan yang dilupakan sebaik lampu dewan dimatikan.
Saya termenung lama. Teringat lawatan saya ke Kaherah, tempat lahirnya Liga Arab yang satu ketika dahulu disanjung sebagai harapan bangsa Arab. Namun kini, bersama-sama dengan OIC, ia sekadar nama yang tertera di kertas, sekadar pentas diplomatik untuk pemimpin berucap dengan penuh gaya tetapi kosong isi.
Apa yang berlaku di Qatar bukan lagi sekadar kelemahan, tetapi tanda pengebumian rasmi bagi kedua-dua pertubuhan itu. Jika dahulu kita mengatakan OIC sudah lama mati, kini boleh saya katakan ia telah dikebumikan dengan talkin yang jelas dan nyata.
Saya pernah menjejakkan kaki ke Gaza selama dua minggu. Saya melihat sendiri dinding Masjidil Aqsa yang penuh dengan parut peluru, saya melihat kem pelarian Palestin di Lubnan, wajah-wajah kanak-kanak yang membesar tanpa negara. Semua pengalaman itu menjadikan pengkhianatan diplomasi ini lebih pedih untuk ditelan.
Politik ketakutan, tak berdaya
Keputusan persidangan Qatar itu lahir daripada politik ketakutan dan ketidakberdayaan. Pemimpin dunia Islam seolah-olah lebih takut kepada Amerika daripada takut kepada Allah.
Mereka bimbang dengan sekatan ekonomi, takut pelaburan asing ditarik balik, gusar dengan ketidakstabilan politik dalaman. Akhirnya mereka memilih jalan selamat dengan berlindung di bawah sayap kuasa besar sambil menutup mata terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Saya pernah bekerja hampir 20 tahun di negara-negara Teluk, menyaksikan bagaimana kekayaan minyak melimpah ruah tetapi digunakan untuk membina pencakar langit dan padang bola berpenyejuk udara, bukan untuk memperkukuh maruah umat. Di Arab Saudi, tempat lahirnya Islam, dilema yang sama berulang. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), tempat saya bermastautin lama, kemajuan fizikal begitu pesat tetapi isu Palestin tetap terikat dengan kepentingan diplomatik dan perdagangan.
Sebagai seorang yang pernah mengembara ke Amerika, Eropah, Asia, dan Afrika, saya dapat membandingkan bagaimana negara lain menguruskan maruah mereka. New Zealand, negara kecil dengan penduduk tidak sampai lima juta, pernah berani menolak senjata nuklear Amerika, walaupun tahu akan menerima tekanan ekonomi. Itulah maruah sebuah bangsa kecil tetapi berjiwa besar.
Di Turki, meskipun penuh dengan dilema politik, sekurang-kurangnya ada usaha menampilkan diri sebagai suara alternatif bagi dunia Islam. Namun tanpa sokongan kolektif dari OIC, usaha itu ibarat burung yang hanya mampu terbang dengan sebelah sayap.
Umat Tanpa Payung
Kini, setelah lebih lima dekad wujud, OIC gagal membuktikan dirinya sebagai payung umat. Dari Rohingya di Myanmar, Uighur di Xinjiang, hingga Kashmir di India, suara OIC sekadar bergema dalam dewan sidang tanpa sampai ke telinga penguasa dunia.
Saya teringat peribahasa Melayu: harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. OIC pula mati meninggalkan kenyataan akhbar, dan itu sahaja warisan yang ada.
Selepas strok menimpa pada tahun 2018, saya belajar menghargai masa dan suara yang tersisa. Saya menulis dengan perlahan, bertatih membaca, tetapi tidak pernah berhenti merenung nasib umat. Dari kerusi roda atau ranjang pesakit, saya melihat dunia Islam semakin hilang arah. Apa yang berlaku di Qatar hanyalah satu bab daripada kisah panjang kejatuhan maruah.
Saya menulis bukan kerana benci, tetapi kerana cinta. Cinta kepada Palestin yang pernah saya jejaki. Cinta kepada umat Islam yang saya temui di 41 negara, dari Asia Tengah hingga ke Afrika. Cinta kepada tanah suci Mekah dan Madinah yang menjadi saksi air mata jutaan jemaah. Tetapi cinta itu kini dirundung duka kerana pemimpin yang tidak bertaring, tidak bertelur, dan tidak bermaruah.
Jalan ke Hadapan
Soalnya, apakah kita hanya akan terus menangisi kematian OIC? Atau masih ada ruang untuk kebangkitan baharu? Saya percaya kebangkitan umat tidak akan datang dari meja diplomasi semata-mata. Ia harus bermula dari rakyat, dari kesedaran kolektif, dari keberanian bersuara walaupun tubuh kita lemah.
Saya melihat generasi muda di Malaysia, di Indonesia, di Turki, malah di Barat sendiri, semakin lantang membela Palestin. Mereka turun ke jalan, mereka menulis di media sosial, mereka memboikot produk yang menyokong Zionis. Inilah benih baharu yang mungkin suatu hari nanti akan tumbuh menjadi pohon besar, menggantikan payung OIC yang sudah reput dimakan anai-anai.
Persidangan OIC di Qatar menandakan pengebumian rasmi sebuah institusi yang sudah lama tidak bernyawa. Ia berakhir dengan kenyataan yang tidak lebih daripada kertas kosong, sebuah dokumen yang akan dilupakan esok hari.
Namun, sebagai seorang yang telah mengembara ke banyak pelosok dunia Islam, saya percaya roh perjuangan umat belum padam sepenuhnya. Mungkin OIC sudah terkubur, tetapi suara rakyat, doa para ibu di Gaza, air mata anak yatim di kem pelarian, dan keberanian generasi muda masih hidup.
Dari kerusi roda seorang warga emas OKU pun, doa dan kata-kata ini masih boleh menjadi saksi bahawa kita tidak rela maruah umat diperdagangkan.
Kerana Islam bukan milik OIC, bukan milik Liga Arab, dan bukan milik Amerika. Islam adalah milik Allah, dan selama itu kita masih punya harapan.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
