Kerajaan tidak akan mengenakan had pendapatan bagi penerima subsidi RON95 apabila mekanisme subsidi bersasar mula dilaksanakan pada 30 Sept ini.
Sebaliknya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Anwar menjelaskan had subsidi tersebut ditetapkan pada 300 liter sebulan, namun pemandu e-hailing dikecualikan daripadanya.
Dia berkata had tersebut ditentukan berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan, yang mendapati purata rakyat Malaysia menggunakan antara 100 hingga 200 liter petrol setiap bulan.
“Paling banyak orang guna sehingga 250 liter, tapi masih tidak sampai 300 liter – kecuali kalau ada isteri pertama di Gombak dan isteri kedua di Seremban,” selorohnya ketika pertemuan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri pagi ini.
Warga asing yang memandu kenderaan yang berdaftar di sini pula akan membayar harga pasaran, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Kenderaan berdaftar di luar negara pula kekal hanya dibenarkan menggunakan RON97.
Sebelum ini, Anwar berkata golongan “mahakaya” juga tidak akan layak menerima subsidi tersebut.
“Mungkin ada yang kritik (dan tanya) kenapa golongan mahakaya pun dapat (subsidi). Kerana ini pengiktirafan kepada rakyat Malaysia (kepada negara),” katanya lagi.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, dia menganggarkan kos subsidi RON95 untuk 15 peratus rakyat Malaysia terkaya serta warga asing mencecah RM8 bilion.

Anwar tidak menyatakan anggaran baru bagi penjimatan subsidi ekoran tiada had pendapatan ditetapkan.
Dia berkata pelaksanaan subsidi bersasar akan dijalankan secara berperingkat.
Angkatan tentera dan polis akan menjadi kumpulan pertama yang menerima subsidi mulai 27 Sept.
Ia disusuli penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 28 Sept, sebelum pelaksanaan penuh pada 30 Sept.
Katanya, langkah itu dibuat untuk menguji keupayaan sistem, merujuk gangguan dalam Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 sebelum ini.
“Sepertimana yang kita tahu, kesesakan (dalam sistem) mungkin timbulkan sedikit (isu). Justeru, kali ini kita lebih berhati-hati dengan kadar pengujian (dan perkara ini) dibawa ke Kabinet dan beberapa menteri minta sistem (subsidi bersasar) diuji.
“Mungkin belum jam (sesak) sangat (di peringkat awal ujian sistem), tapi sebaik meningkat kepada lebih lima juta (penerima), mungkin timbul sedikit masalah,” katanya.
Tak perlu daftar
Dia sempat berseloroh dengan berkata penjawat awam tidak perlu terburu-buru membeli petrol bersubsidi, sebaliknya boleh berbuat demikian pada awal Oktober.
Walaupun lesen memandu sah ditetapkan sebagai syarat untuk menerimanya, difahamkan bahawa hanya MyKad perlu digunakan untuk mendapatkan RON95 bersubsidi.
Anwar berkata rakyat tidak perlu mendaftar untuk melayakkan diri mendapatkan subsidi itu, dan pengimbas MyKad akan disediakan di kedai stesen minyak serta di pam petrol bagi mengurangkan risiko kesesakan.
Rakyat juga mempunyai pilihan membayar petrol melalui aplikasi seperti Touch ‘n Go dan Setel milik Petronas tanpa memerlukan MyKad fizikal.Anwar berkata ini kerana aplikasi sedemikian mempunyai pengesahan identiti digital electronic Know-Your-Customer (eKYC), yang memerlukan gambar MyKad dimuat naik.
Merujuk data Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan, dia menambah lebih 16 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga baru itu.
Dia juga menegaskan bahawa hasil daripada reformasi subsidi akan dikembalikan kepada rakyat melalui infrastruktur yang lebih baik, termasuk langkah penebatan banjir.
