Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim, Latheefa selar saranan untuk dakwa mangsa rogol statutori
Diterbitkan:  Sep 22, 2025 3:56 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat perlu menarik balik cadangannya berhubung gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa.

Lim turut menggesa Yusoff agar meminta maaf atas sikap “tidak sensitifnya” terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memberi tumpuan terhadap tugasnya untuk mengekang kes rogol dan rogol statutori di Kelantan.

Mohd Yusoff Mamat

“Cadangan sebegitu bukan sahaja tersasar, malah menunjukkan tiadanya simpati, empati dan belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan yang masih di bawah umur serta mangsa rogol statutori.

“Ada sebab mengapa umur keizinan ditetapkan pada 16 tahun, dan mengapa undang-undang menjadikan perbuatan pelaku yang melakukan hubungan seks ‘suka sama suka’ dengan individu bawah umur sebagai satu kesalahan jenayah rogol statutori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan itu turut dibantah Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah yang antara lain berkata ia bercanggah dengan semangat undang-undang jenayah seksual di Malaysia dan mencerminkan salah faham serius terhadap prinsip perlindungan kanak-kanak.

Jimmy Puah

Semalam, Yusoff mengutarakan cadangan itu dengan menyatakan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka berdasarkan hasil siasatan.

Mengulas lanjut, Lim berkata tujuan di sebalik undang-undang tersebut adalah untuk melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual memandangkan “usia mereka yang masih mentah, belum matang dan tidak cukup pengetahuan untuk membuat keputusan sendiri bagi memberikan keizinan melakukan hubungan seks”. 

“Peruntukan liabiliti ketat ini bukan sahaja termaktub dalam undang-undang Malaysia, tetapi hampir di seluruh dunia, dengan hanya perbezaan dari segi penetapan umur sah bagi keizinan tersebut.

“Apa yang membuatkan Malaysia begitu berbeza sehingga mangsa pula yang perlu dihukum hanya kerana memberi keizinan, sedangkan dari segi undang-undang dia sendiri tidak mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian?” soalnya lagi.

Menyuarakan sentimen yang sama, pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya menganggap cadangan polis situ sebagai "tidak masuk akal"dan mengarut. Katanya, logik di sebalik undang-undang semasa mengenai rogol tidak menjenayahkan mangsa wanita.

Latheefa Koya

"Seluruh rasional mewujudkan kesalahan undang-undang rogol adalah untuk melindungi gadis bawah umur. 'Persetujuan' mereka adalah tidak relevan, kerana mereka tidak mampu memahami sepenuhnya perbuatan itu atau akibatnya.

“Pendirian polis ini bermakna ramai ibu bapa atau guru yang menemui kes rogol mengikut undang-undang mungkin tidak melaporkannya kerana bimbang mengaitkan gadis malang itu,” katanya,

Dia juga menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menangani cadangan yang menjadi perbalahan itu dan menyatakan pendirian mereka mengenai perkara tersebut.

Tahun lalu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan (gambar atas) berkata peningkatan kes rogol statutori dipercayai berpunca daripada kegiatan grooming (pengantunan seksual) di media sosial.

Pengantunan seksual kanak-kanak berlaku apabila seorang dewasa memperoleh kepercayaan kanak-kanak yang terdedah bagi membuka ruang kepada hubungan seksual.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS