Ahli perniagaan Albert Tei mendakwa terdapat “tikus” dalam SPRM yang membocorkan keterangannya yang sepatutnya sulit kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Tei berkata dia terkejut apabila Hajiji merujuk kepada kandungan kenyataannya kepada SPRM semasa majlis makan tengah hari Krismas di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Disember lepas.
Katanya, dia ingin tahu siapa individu yang bertanggungjawab memaklumkan apa kenyataan yang diberikan itu kepada Hajiji.
Menganggap ia adalah “sangat jelas”, ahli perniagaan terbabit bertegas mendakwa ada pihak dalam agensi antirasuah itu membocorkan rahsia.
“Sangat jelas. Apa yang saya katakan sekarang adalah fakta. Ada tikus dalam SPRM,” kata Tei kepada pemberita di luar mahkamah di Kota Kinabalu.
Tei ditemui selepas menghadiri perbicaraan pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.
Menurut ahli perniagaan itu lagi, dia membuat dua laporan, termasuk satu kepada polis melibatkan Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit.
Aduan kedua, katanya, dibuat kepada SPRM atas isu salah guna kuasa.
Dia mendakwa kebocoran maklumat tersebut menunjukkan terdapat campur tangan Hajiji dalam siasatan SPRM.
Cabar tunjuk bukti
Katanya, selagi dakwaan kebocoran itu ditangani, dia tidak akan bekerjasama dengan SPRM lagi.
“Saya mahu tahu berapa ramai ‘tikus’ yang ada dalam SPRM, siapa ‘tikus-tikus’ itu dan jawatan apa yang mereka pegang.
“Sehingga mereka menangkap tikus-tikus itu dan memberi penjelasan kepada saya, saya tidak akan lagi percaya kepada SPRM.
“Jika mereka memanggil saya pada masa hadapan, saya tidak akan bekerjasama,” tambahnya.
Dalam sidang media itu juga Tei sempat membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyifatkan skandal rasuah perlombongan Sabah sebagai "khabar angin" saja.
Justeru Tei memberitahu dia sudah bersedia melebarkan kesnya ke peringkat antarabangsa untuk mengesahkan apa yang didakwa sebelum ini.
Katanya dia sudah mencari beberapa NGO di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, AS dan UK untuk membolehkan bukti yang ada dihantar kepada mereka dan disemak secara forensik. Bukti berkenaan, kata Tei, termasuklah rakaman penuh video berkaitan skandal perlombongan Sabah.

Tei juga mendakwa dia sedia mendedahlan lebih banyak maklumat mengenai rasuah jika terus ditekan.
"Cukup, jangan paksa saya," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Tei menafikan dia dibiayai oleh ahli perniagaan dari Singapura dan mencabar pihak yang membuat tuduhan tersebut memberikan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.
"Taikun itu, kalau boleh buktikan kepada saya.... taikun tu tak pernah berikan saya wang walau satu sen pun. Tolong buktikan apa yang saya bayar kepada Umno, kepada YB. Tunjukkan saya bukti.
"Tangkap saya, siasat saya. Sehingga hari ini, sudah tiga bulan. Tuduhan mengenai hartawan itu datang bila?
“Ia datang dua hari selepas saya mengadakan sidang media di sini (di Kota Kinabalu semasa perbicaraan kali pertama) SPRM membuka kertas siasatan berdasarkan khabar angin, khabar angin," katanya.
Dia juga menambah, individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah didedahkannya itu hanya boleh didakwa apabila Hajiji dan ahli politik berkaitan tidak lagi berkuasa.
Syarikat Southern Alliance Mining Ltd sebelum ini menafikan dakwaan yang mengaitkan pengarah urusannya, Pek Kok Sam, dengan skandal rasuah Sabah.
