Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mempertahankan keputusan kerajaan untuk memberikan subsidi RON95 kepada seluruh rakyat tanpa mengira pendapatan, walaupun ia mengurangkan penjimatan dana.
Dia berkata anggaran penjimatan sebanyak RM2.5 bilion hingga RM4 bilion di bawah program Budi95 tidak wajar dianggap sebagai sedikit.
“Bagi saya, pada masa ini, setiap ringgit yang dijimatkan adalah berharga kerana kita boleh gunakannya untuk keperluan lain.
"Sama ada kita kurangkan defisit atau laburkan kepada perkara yang perlu untuk pemulihan (negara),” katanya semasa taklimat bersama media di Shah Alam, Selangor hari ini.
Katanya lagi, walaupun potensi penjimatan di bawah program subsidi ini kurang berbanding anggaran sebelumnya, ia lebih baik berbanding tiada penjimatan langsung.
“Kalau kita dapat RM2.5 bilion (atau) RM4 bilion, saya sudah cukup gembira, berbanding tidak dapat apa-apa langsung,” katanya lagi.
Sehingga Ogos lalu, kerajaan kekal dengan anggaran penjimatan daripada subsidi RON95 bersasar sehingga RM8 bilion.
Namun, Amir Hamzah semalam berkata anggaran baru di bawah program Budi95 adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah.

Anggaran terkini itu berdasarkan harga dagangan minyak mentah sekitar AS$75 (RM315) setong. Jumlah ini hampir sama dengan anggaran awal kerajaan ketika mula menetapkan sasaran RM8 bilion dalam Belanjawan 2025.
Ketika mengumumkan program subsidi bersasar bagi RON95 semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan perubahan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan semua rakyat Malaysia.
Sebelum ini, dia berkata golongan mahakaya tidak akan layak menerima subsidi tersebut.
Menutup kebocoran
Ditanya mengenai subsidi yang turut merangkumi 15 peratus warga pendapatan tertinggi, Amir yang juga menjalankan tugas sebagai Menteri Ekonomi berkata kerajaan mengambil kira pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
“Penting apabila (kerajaan membuat perubahan), perubahan itu mesti mudah diterima masyarakat, dan ia juga perlu mencerminkan keadaan pada masa ini.
“Kerajaan faham masih ada tekanan kos sara hidup, jadi pada ketika ini, apa yang kita mahu lakukan adalah menutup kebocoran yang berlaku dalam sektor yang kita anggap tidak layak menerima subsidi,” katanya.
Menjelaskan yang bukan warganegara tidak akan layak di bawah program subsidi yang baru, Amir berkata ia bertujuan mengurangkan risiko penyeludupan.
“Kalau mereka seludup (petrol), mereka akan membelinya pada harga pasaran – sekurang-kurangnya tiada beban ke atas subsidi (yang disediakan kerajaan).
“Kawalan sedia ada juga masih berkuat kuasa, iaitu kenderaan berdaftar asing tidak dibenarkan membeli RON95, sebaliknya perlu membeli RON97,” katanya.
Dia mengakui walaupun terdapat “pertukaran” dalam memuktamadkan subsidi RON95, kerajaan mahu mendengar rungutan rakyat dan menghormati cabaran yang dihadapi mereka.
Guna data daripada Padu
Mengulas mengenai Pangkalan Data Utama (Padu), Amir berkata walaupun sistem itu “kaya dengan data”, program Budi95 tidak memerlukan banyak input daripadanya.
“Tetapi untuk Budi95, kriteria kita mudah – seseorang mesti warga Malaysia, dan data ini paling bagus diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Jadi, kita tidak memerlukan keseluruhan kerumitan set data Padu dan tidak perlu bergantung 100 peratus kepadanya,” katanya lagi.
Namun Amir menegaskan bahawa kerajaan tetap menggunakan Padu dalam cara lain, terutamanya untuk merangka dasar.
“Saya tidak kata kita tidak guna Padu – Kementerian Kewangan bekerjasama dengannya untuk mengesahkan dan menyemak silang data yang kita ada.
“Kita juga menerima permintaan daripada beberapa agensi untuk analitik data,” katanya.
Awal bulan ini, sebelum kerajaan memutuskan subsidi RON95 secara menyeluruh untuk semua rakyat, Amir berkata maklumat dalam Padu akan digunakan untuk menyemak silang data daripada agensi kerajaan bagi menentukan kriteria dan kelayakan penerima.
