Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gagal perbaharui lesen memandu lebih 3 tahun tak layak subsidi RON95'

Pemilik lesen memandu kompeten (CDL) tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun masih layak mendapat subsidi RON95 melalui Budi Madani RON95 (Budi95) yang akan bermula 30 September ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun masih dianggap aktif.

"Dalam takrifan lesen memandu yang sah mereka ada memperbaharui, lesen yang masih aktif. Lesen yang masih aktif juga termasuk mereka yang belum perbaharui (lesen) sehingga (tidak lebih) tiga tahun.

"Itu dianggap aktif dalam sistem kita, mana-mana lesen yang tidak diperbaharui lebih tiga tahun itu dianggap tidak aktif dan mereka tidak akan dapat subsidi RON95," katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu 925,421 pemegang CDL tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun masih belum memperbaharui lesen memandu mereka.

"Dalam hal ini, pemegang CDL yang masih aktif termasuk pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun diseru untuk segera memperbaharui lesen memandu," katanya lagi.

Jelas Loke, bagi mereka yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tiga tahun, mereka perlu menjalani ujian kurikulum pendidikan pemandu.

Pada 22 Sept lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Budi95 di mana petrol RON95 dijual pada harga RM1.99 bermula 30 Sept ini bagi warganegara berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen kenderaan.

Anwar berkata inisiatif itu dilaksanakan seperti mana janjinya pada Julai lalu untuk menurunkan harga petrol RON95.

Bagi individu bukan warganegara pula, mereka masih boleh membeli RON95 pada kadar RM2.60 bermula tarikh yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS