Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan, menolak tuduhan ahli perniagaan Albert Tei bahawa dia menerima rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral di negeri itu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu menjelaskan dia “tidak benar-benar ingat” pernah berbual dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang disiarkan Malaysiakini semalam.
Kitingan berkata perbualan itu kelihatan mengenai sumbangan politik “bertahun-tahun lalu sebelum pilihan raya” dan menegaskan ia tidak ada kena-mengena dengan skandal perlombongan yang mengaitkan beberapa Adun Sabah baru-baru ini.
Baca: Albert dedah video ‘RM1.78 juta’ Kitingan
“Saya tidak benar-benar mengingati perbualan ini tetapi saya terkejut kerana perbualan peribadi sebegini dirakam secara sulit dan kini dipaparkan secara umum seolah-olah ia ada kaitan dengan skandal perlombongan.
“Nampaknya video itu berkisar mengenai sumbangan politik bertahun-tahun lalu sebelum pilihan raya tanpa sebarang bukti penerimaan, tidak seperti skandal perlombongan terdahulu — dan tiada langsung kaitan dengan skandal perlombongan tersebut.
“Ia hanyalah satu helah untuk mengaitkan kami dengan skandal perlombongan yang langsung tiada kena-mengena dengan saya atau wakil rakyat Star,” katanya menerusi pesanan teks.
Ahli politik veteran itu turut menegaskan pimpinan Star tidak pernah memohon lesen perlombongan, sama ada secara peribadi atau atas nama parti.
“Saya seorang conservationist (pencinta alam sekitar),” tegas Kitingan.
Semalam, Tei mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima jumlah bayaran terbesar dalam skandal perlombongan Sabah.
Tei juga memberitahu Malaysiakini bahawa jumlah yang kononnya diberikan kepada ahli parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta — lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam rakaman tersebut.
Pertemuan itu didakwa berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024 dan berkisar tentang pembatalan lesen penerokaan perlombongan.
