Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura gantung mati Datchinamurthy
Diterbitkan:  Sep 25, 2025 10:07 AM
Dikemaskini: 9:02 AM

KEMASKINI 3:45 petang l Hukuman mati yang dikenakan ke atas K Datchinamurthy telah dilaksanakan, kata pihak berkuasa Singapura hari ini.

"Hukuman mati yang dikenakan ke atas Datchinamurthy a/l Kataiahmurthy telah dilaksanakan pada 25 Sept 2025," kata kenyataan Biro Narkotik Pusat republik itu.

Menurut kenyataan itu, warga Malaysia berusia 39 tahun tersebut disabitkan bersalah memiliki bagi tujuan mengedar, tidak kurang daripada 44.96 gram diamorphine, atau heroin tulen.

Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura memperuntukkan hukuman mati jika jumlah diamorfin yang diperdagangkan melebihi 15 gram. 44.96 gram diamorphine adalah mencukupi untuk memuaskan ketagihan kira-kira 540 penagih selama seminggu.

“Datchinamurthy telah diberi proses yang wajar sepenuhnya di bawah undang-undang, dan diwakili oleh peguam bela semasa perbicaraan dan rayuan,” katanya.

Datchinamurthy telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati pada 15 April 2015.

Dia merayu terhadap sabitan dan hukumannya, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 5 Februari 2016.

Petisyen pengampunan kemudiannya diajukan kepada presiden republik itu. Bagaimanapun pengampunan itu tidak berjaya.

“Hukuman mati hanya dikenakan untuk jenayah yang paling serius, seperti pengedaran dadah dalam kuantiti yang banyak yang menyebabkan kemudaratan yang sangat serius, bukan sahaja kepada individu yang menyalahgunakan dadah, tetapi juga kepada keluarga mereka dan masyarakat yang lebih luas,” kata Biro Narkotik Pusat Singapura.

Sebelum itu, peguam keluarga warga Malaysia itu, N Surendran membidas keputusan Singapura untuk meneruskan pelaksanaan hukuman mati tersebut selepas ia ditangguhkan pada sebelah pagi ini.

"Tiba-tiba kami menerima maklumat tersebut, ia amat mengejutkan dan sangat kejam. Keluarga dimaklumkan supaya mengambil mayatnya pada jam 3 petang.

Ini adalah satu tindakan kezaliman yang tiada bandingannya walaupun dalam sejarah rejim hukuman mati yang keras di Singapura, ” katanya dalam satu kenyataan.

N Surendran

Surendran berkata, untuk berpura-pura memberi penangguhan membawa harapan kepada Datcinamurthy serta keluarganya, dan kemudian memaklumkan bahawa dia akan digantung adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, tindakan Singapura itu bersamaan dengan melaksanakan hukuman mati secara sewenang-wenangnya, kejam dan luar biasa, yang menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

“Kekejaman yang dilakukan ini kelihatan disengajakan dan tidak berperasaan, serta merupakan satu tahap kehinaan baharu bagi Singapura.

“Ringkasnya, ini adalah kebiadaban negara,” katanya yang juga adalah penasihat Lawyers for Liberty.

Menurut Surendran, sebelum ini mereka diberi makluman bercanggah mengenai pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan di Penjara Changi hari ini.

Menurut keluarga, sekitar jam 12.30 pagi tadi mereka menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa pelaksanaan hukuman telah ditangguhkan.

Namun, tidak lama kemudian, mereka dikejutkan dengan arahan terbaru bahawa hukuman akan tetap dijalankan.

Keluarga Datchinamurthy juga memaklumkan mereka telah segera mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan Singapura untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman berikutan perkembangan pagi ini dan sedang menunggu maklum balas.

“Kami menggesa kerajaan Singapura segera menghentikan pelaksanaan hukuman mati yang tidak sah ini bagi membolehkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai kesahihan hukuman yang dijadualkan,” tegas mereka.

Pagi tadi Surendran memaklumkan pihak berkuasa penjara Singapura telah menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Datchinamurthy, yang dijadualkan berlangsung pagi tadi.

Dia berkata keluarga Datchinamurthy dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Perkhidmatan Penjara Singapura melalui panggilan telefon selepas tengah malam tadi.

Namun, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai sebab keputusan tersebut dibuat.

“Pelaksanaan hukuman mati terhadap warganegara Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, di Penjara Changi yang dijadualkan pagi ini, tidak dilaksanakan.

“Keluarganya menerima panggilan telefon daripada pihak penjara selepas tengah malam memaklumkan perkara ini,: katanya.

Selain Datchinamurthy, tiga lagi rakyat Malaysia sedang menunggu hukuman mati di Singapura, yang telah diketengahkan oleh Suhakam awal bulan ini sebagai sebahagian daripada rayuan supaya Putrajaya campur tangan dalam pelaksanaan hukuman mereka.

Mereka ialah P Pannir Selvam, S Saminathan, dan R Lingkesvaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS