Seorang bekas menteri BN mahu menyaman Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas tidak berpuas hati terhadap pembatalan mengejut slot siaran berbayarnya pada 21 Julai.
Menurut sumber yang dekat dengannya, bekas menteri itu–yang juga seorang anggota parlimen–mengambil keputusan itu setelah aduannya kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil didakwa tidak dilayan.
"Setelah RTM memberi jawapan sambil lewa berhubung pembatalan slot berbayar dan meletakkan isu ini sebagai masalah dalaman pemasaran, pemimpin itu membuat aduan kepada Fahmi.
"Surat aduan meminta menteri itu untuk menyiasat perkara ini mengarahkan pihak RTM memberi penjelasan bertulis berhubung sebab sebenar pembatalan saat akhir ini.
"Sehingga kini tiada sebarang tindakan atau maklum balas daripada Fahmi, memaksa pemimpin itu mengambil tindakan undang-undang terhadap RTM," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Fahmi dan bekas menteri itu–daripada sebuah parti komponen BN yang bukan Umno–tetapi belum mendapat sebarang maklum balas daripada mereka.
Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman pula ketika dihubungi enggan mengulas.
Surat aduan kepada Fahmi bertarikh 14 Ogos itu turut dilihat Malaysiakini.
Ia antaranya memberitahu bahawa slot siaran langsung berkaitan isu masyarakat itu dibeli secara berbayar dengan kelulusan Kementerian Komunikasi dan diluluskan oleh cawangan perdagangan, kementerian tersebut.
Pemimpin itu juga meminta Fahmi menyiasat ketiadaan pemakluman awal mengenai pembatalan dan dakwaan keengganan RTM menggantikan slot baru.
"Akibat pembatalan ini, kami terpaksa menanggung kerugian dengan menggunakan platform media berbayar lain untuk mempromosikan program tersebut. Program ini ditaja oleh sebuah NGO, yang saya bertindak sebagai penaung dan penasihat.
"Sebagai ahli parlimen yang sedang berkhidmat, saya memandang serius perkara ini kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan. NGO kami telah membeli slot ini secara konsisten sejak tahun lalu tanpa sebarang masalah sebelum ini.
"Kenapa nak batalkan tiba-tiba? Insiden ini jelas memperlihatkan kurangnya ketelusan, akauntabiliti, dan profesionalisme," katanya dalam surat itu.
Terdahulu, sumber memberitahu bahawa slot berbayar itu dijadualkan pada 5.45 petang dibatalkan hampir 90 minit sebelum tayangan atas alasan memberi laluan kepada siaran Dewan Rakyat.
