CEO Harimau Malaya, Robert Douglas Friend menytakan rasa terkejut dengan tindakan disiplin dan denda yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan.
Friend menegaskan skuad bola sepak kebangsaan menghormati prosiding yang sedang berlangsung, dan yakin keputusan yang dibuat akan bersifat adil dan telus.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menangani urusan pentadbiran yang dalam semakan, dan pasukan kebangsaan berdiri teguh menyokong proses rayuan.
“Bagi pihak Harimau Malaya, fokus penuh kami adalah pada jalan di hadapan, membentuk pasukan yang mantap untuk perlawanan kelayakan menentang Laos serta memastikan disiplin, profesionalisme dan prestasi di padang terus mencerminkan kebanggaan dan semangat negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
urut menyifatkan tindakan itu — di mana setiap daripada tujuh pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500) — sebagai “detik penentu” buat bola sepak Malaysia.
Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata terdapat kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen bagi tujuh pemain warisan tersebut.
Pada 26 September lalu, Fifa memaklumkan pihaknya mengenakan tindakan disiplin terhadap FAM dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Fifa berkata FAM menghantar dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain tersebut, yang membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Ketujuh-tujuh pemain itu menyertai skuad bola sepak kebangsaan atas kapasiti sebagai “pemain warisan” — iaitu pemain yang mempunyai pertalian keluarga dengan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata para pemain berkenaan memperoleh kewarganegaraan selepas melalui proses penapisan yang teliti, dan semua undang-undang kewarganegaraan telah dipatuhi.
