Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: SPRM terus siasat pendedahan terbaru Tei

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil sekurang-kurangnya 10 saksi bagi menyiasat pendedahan terbaru ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, berhubung skandal rasuah Sabah membabitkan pemimpin kerajaan.

Ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata siasatan berterusan dilakukan susulan pendedahan terbaru oleh Tei yang disiarkan sebuah portal berita.

"Yang baru dilaporkan tentang ahli politik itu, siasatan sedang dijalankan lagi.

"Tak silap saya dalam 10 orang saksi termasuk Datuk Seri Jeffrey Kitingan sendiri telah dipanggil.

"Yang lain-lain tu (termasuk) Albert saya tak pasti, mungkin belum lagi (dipanggil).

"Saksi-saksi lain kita akan teruskan (siasatan). Ada video-video baru yang dikeluarkan dalam satu portal dan kita akan melihatnya," kata Azam.

Azam ditemui media selepas majlis sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan pelancaran Keep Malaysia Clean di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini.

Siang tadi Tei mendedahkan satu lagi video terkait dakwaan skandal lesen lombong di Sabah.

Kali ini klip rakaman itu memaparkan Rizal Johari iaitu pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey.

Selain perbincangan mengenai sejumlah besar wang tunai yang bertukar tangan, rakaman bertarikh 18 Jan 2024 di sebuah restoran di Kota Kinabalu itu turut menyentuh dinamika politik dalam gabungan kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam kenyataannya, Tei mendakwa rakaman itu menunjukkan lesen dibatalkan sebagai sebahagian daripada “perebutan kuasa” di antara Ketua Menteri Sabah merangkap pengerusi GRS, Hajiji Noor, Kitingan, dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili.

Kitingan dan Ongkili masing-masing ialah Timbalan Pengerusi I dan II GRS.

Dalam rakaman itu, Tei mengingatkan Rizal mengenai dakwaan bayaran RM300,000 yang diserahkan kepadanya dalam tiga ansuran masing-masing RM100,000, didakwa diterima pembantu itu bagi pihak Kitingan.

Sementara itu, ditanya mengenai siasatan terhadap bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, Azam berkata, dia menunggu keputusan Peguam Negara (AG) sama ada ingin melakukan pertuduhan atau sebaliknya.

Katanya, AG akan menentukan status kes Ahli Parlimen Bera itu.

"Saya hanya menunggu daripada peguam negara sama ada kes itu perlu diteruskan untuk menuduh atau tidak. Itu saja terpulang kepada beliau (AG).

"Tetapi bagi pemulihan aset, SPRM sudah jalankan tugas dan aset berkenaan berjaya dipulihkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS