Ahli perniagaan, Albert Tei telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor bagi menuntut penjelasan berhubung larangan ke atasnya untuk masuk ke negeri itu.
Ia selepas Tei - individu yang menjadi pemberi maklumat berhubung skandal perlombongan di Sabah - dihalang oleh pihak imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dia ke Sabah bagi menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sehari kemudian.
Menurut peguam Tei, Mahajoth Singh, anak guamnya diberitahu oleh seorang pegawai imigresen yang dikenali sebagai “Puan Mimie” bahawa dia tidak boleh masuk ke Sabah ekoran “sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah”.
“Jelas yang sekatan masuk yang dikenakan, yang menghalang anak guam kami menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tanpa sebarang perintah mahkamah — apatah lagi hanya bersandarkan arahan daripada Pejabat Ketua Menteri — merupakan tindakan tidak sah, salah guna kuasa, dan tindakan yang melanggar hak asasi anak guam kami menurut Perkara 5 dan Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan bertulis mengenai insiden berkenaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat ini,” menurut notis undang-undang yang dihantar Mahajoth kepada pejabat Hajiji.
Surat itu bertarikh 2 Oktober (semalam).
Pada 22 September lalu, Tei dilaporkan telah dihalang memasuki Sabah ketika dia ke sana bagi menghadiri prosiding mahkamahnya.
Tei berdepan perbicaraan berkaitan skandal perlombongan Sabah.
Dia kemudian dibenarkan oleh pihak imigresen untuk masuk ke negeri itu, namun didakwa hanya untuk tempoh dua hari bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah tersebut.
