Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis GSF selamat, proses pembebasan ditangguh kerana Yom Kippur

Proses pembebasan 23 aktivis Malaysia dari tahanan Israel ditangguhkan susulan perayaan keagamaan Yahudi Yom Kippur, menurut Menteri Luar Mohamad Hasan.

Bercakap pada sidang media pagi ini, dia berkata semua pejabat kerajaan di sana ditutup kerana acara perayaan itu dan turut menjejaskan komunikasi dengan tahanan, yang merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Bagaimanapun, Mohamad memberi jaminan bahawa kesemua aktivis itu dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan baik, dan kerajaan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv untuk pembebesan mereka.

"Apa saya nak bagitahu, jangan risau. Keluarga memang risau, tapi kerajaan sentiasa memantau, setiap saat, secara langsung, sentiasa memantau, seperti semasa mereka di laut tempoh hari.

"Lepas mereka ditahan kita terputus komunikasi. Tapi ada ADALAH (pasukan peguam dari Pusat Hak Minoriti Arab di Israel), yang telah dilantik awal-awal lagi sebagai penasihat undang-undang jika berlaku perkara-perkara yang kita jangkakan.

"Sebab itu peserta GSF dari Malaysia telah diberi taklimat rapi sekali apa mereka perlu buat, supaya tak buat provokasi yang boleh sebabkan perkara tak baik berlaku.

"Insya-Allah tunggu satu dua hari ini, hari ni ada perayaan Yom Kippur di Israel, tutup semua. Perhubungan terputus. Harap Isnin jika pejabat-pejabat dibuka semula di sana kita dapat berhubung. Tapi perhubungan dengan perantaraan sentiasa baik," katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Kawalan Sumud Nusantara di Sepang.

Israel telah menahan 42 buah bot antara 1 Okt dan 3 Okt yang sedang belayar menuju ke Gaza dalam usaha untuk menerobos sekatan rejim Zionis dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Tentera rejim dilaporkan telah menculik sejumlah 462 aktivis di atas bot ketika mereka berada di perairan antarabangsa, dan membawa tahanan ke pelabuhan Ashdod di Israel sebelum menahan mereka di kemudahan tahanan yang dipanggil Kem Ketziot.

Mohamad berkata semua aktivis Malaysia telah menandatangani borang berkaitan untuk memastikan mereka dihantar pulang dari Israel. Mereka akan menghadapi perbicaraan kerana didakwa menceroboh Israel sebagai prosedur sebelum mereka boleh dihantar pulang.

Dia berkata Malaysia telah membuat perjanjian dengan kerajaan Turki, Jordan dan Mesir untuk membawa balik aktivis berkenaan, bergantung lokasi negara mereka akan dibebaskan.

Menurut ketua pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara Sani Araby Abdul Alim Araby, peguam dari Adalah telah berjaya bertemu dengan kira-kira 20 aktivis Malaysia.

Bagaimanapun, beberapa yang lain masih dinafikan akses kepada perwakilan undang-undang dan kerajaan Malaysia sedang berhubung dengan rakan sejawatannya yang mempunyai duta di Tel Aviv untuk menyampaikan mesej mereka kepada tahanan.

Meski aktivis dalam keadaan selamat, Sani Araby berkata mereka menerima laporan bahawa Israel telah memaksa tahanan berlutut selama lima jam dengan tangan diikat.

"...ini berlaku selepas beberapa (tahanan) melaungkan 'Bebaskan Palestin'. Kami juga dimaklumkan bahawa tahanan telah dinafikan akses kepada air, tandas, dan peguam," katanya pada sidang media itu.

Sementara itu, menteri itu turut menyatakan keyakinannya bahawa bantuan kemanusiaan boleh dihantar ke Gaza tidak lama lagi.

Ini berikutan kesediaan Hamas untuk menerima pelan damai 20 perkara yang dicadangkan oleh presiden AS Donald Trump, walaupun dengan beberapa syarat yang kemungkinan memerlukan rundingan lanjut.

Mohamad berkata Hamas telah bersetuju untuk membebaskan semua tebusan Israel dengan syarat Israel menarik sepenuhnya pasukan tenteranya dari Gaza.

Mereka juga bersetuju dengan cadangan agar Gaza ditadbir oleh badan bebas dengan syarat ia perlu menjadi badan profesional yang hanya terdiri daripada rakyat Palestin.

“Kami gembira kerana Hamas telah menerima (cadangan itu) walaupun dengan beberapa syarat, jadi (Israel) tidak akan mempunyai alasan untuk terus menyerang Gaza.

“Trump juga telah mengeluarkan arahan supaya pengeboman di Gaza dihentikan.

"Kami berharap ini akan menjadi titik perubahan kepada keamanan yang kekal di Gaza dan rakyat Palestin boleh mendapatkan negara merdeka mereka sendiri," katanya.

Mohamad menggesa semua NGO yang ingin menghantar bantuan ke Gaza supaya bersiap sedia dan berhubung dengan Wisma Putra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS