Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah gesa Anwar undur kerana RUU PSB, jemput Trump

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meletakkan jawatan berhubung dua isu besar — Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Kuala Lumpur.

Berucap pada perhimpunan anjuran pembangkang di ibu negara hari ini, Hamzah membidas penggubalan RUU berkenaan serta kekejaman rejim Zionis yang disokong Amerika Syarikat di Gaza.

Hamzah mendakwa beberapa ahli parlimen kerajaan, termasuk daripada Umno dan PKR, telah menyatakan sokongan untuk menolak RUU PSB.

"Kami ahli Parlimen pembangkang dari mula telah menolak, bukan hanya pembangkang, ada juga ahli Parlimen Umno bersama, (dan) sudah ada kalangan PKR yang bersama,” katanya.

Menurutnya lagi, Anwar sebelum ini memberi jaminan di parlimen bahawa RUU berkenaan boleh dipinda.

"Anwar, kamu sudah pun mengaku dengan saya di Parlimen… ada rekod dalam Parlimen, Anwar telah pun menjanjikan URA ini boleh diubah.

"Anwar jangan kau perjuangkan hanya untuk kepentingan pemaju. Sebab itu kami ramai-ramai di sini berhimpun menolak URA,” katanya.

‘Trump pelakon terbesar’

Ahli Parlimen Larut itu juga menarik perhatian terhadap pendirian kerajaan mengenai isu Palestin, sambil mengkritik Anwar kerana menjemput Trump ke Malaysia.

"Hari ni kita tahu seorang pelakon yang terbesar dalam dunia, dalam perjuangan Palestin adalah Trump. Kami tak mahu Trump hadir. Tolak Trump!” katanya, disambut sorakan orang ramai," katanya.

Hamzah menutup ucapannya dengan mengingatkan Anwar tentang perjuangan reformasi yang pernah dibawanya dahulu.

"Anwar ingatlah kamu pernah berjuang untuk keadilan… Sekarang sandiwara semata. Turun Anwar, cukup-cukuklah," katanya.

Anwar sebelum ini mempertahankan jemputan kepada Trump dengan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi Asean bagi urusan di peringkat serantau.

Perhimpunan hari ini menyaksikan kehadiran kira-kira 5,000 peserta. Pada awalnya, kira-kira 1,000 hadir di pusat beli belah Sogo tetapi jumlah itu meningkat kepada kira-kira 3,000 apabila kumpulan yang berarak dari Masjid Jamek tiba kira-kira jam 2.20 petang.

Bilangan peserta terus bertambah sehingga mencecah 5,000 orang, dengan peserta perhimpunan memenuhi jalan-jalan di sekitar kompleks beli-belah tersebut.

Perhimpunan berakhir sekitar jam 4.15 petang selepas doa penutup dibacakan oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Tidak lama selepas itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengucapkan penghargaan kepada penganjur kerana memberi kerjasama kepada pihak polis.

Dalam sidang media di luar kompleks Sogo, dia turut memohon maaf kepada orang ramai berikutan penutupan jalan dan menjelaskan langkah itu dilambil secara berperingkat bagi membolehkan peserta perhimpunan berarak ke Sogo dengan selamat.

Dia berkata seramai 400 anggota polis telah ditugaskan bagi memantau perarakan ke Sogo dalam himpunan tersebut.

Menurutnya tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan itu dan pihak polis telah merakam ucapan yang disampaikan semasa acara tersebut.

“Kita ada membuat rakaman ucapan-ucapan tadi, dan kita akan semak balik sekiranya ada kesalahan ataupun yang menyentuh isu 3R dan sebagainya, kita akan buka kertas siasatan,” katanya.

Sulizmie turut menganggarkan kehadiran peserta perhimpunan antara 1,600 hingga 1,800 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS