Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat Diraja S’gor kongsi kenyataan Ambrin Buang isu Kg Sg Baru
Diterbitkan:  Oct 6, 2025 11:50 AM
Dikemaskini: 4:12 AM

Pejabat Diraja Selangor berkongsi kenyataan media bekas ketua audit negara Ambrin Buang berkaitan status Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang masih dalam pertikaian.

Ambrin, dalam kenyataan bertarikh 1 Oktober lalu, antaranya menegaskan kampung itu sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan tidak boleh ditukar kepada bukan Melayu.

Menurut Pejabat Diraja Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dan membaca kenyataan media Ambrin berhubung Kampung Bharu dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru.

Ambrin Buang

Tiada sebarang ulasan dinyatakan.

Ambrin adalah anak jati Kampung Baru, mantan pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) merangkap anggota Dewan Diraja Selangor.

Ambrin antaranya berkata, tanah Kampung Sungai Baru asalnya sebahagian daripada tanah warta MAS berpandukan kepada pewartaan 1901. 

“Malah jika dilihat kepada Warta bertarikh 16 Februari 1932, jelas menunjukkan bahawa kedudukan kawasan tanah di bawah warta MAS sebagai terletak pada kedudukan the right bank of Klang River downstream (tebing kanan hilir Sungai Klang),” katanya.

Katanya, pewartaan MAS dikekalkan walaupun kegunaannya ditukar untuk tujuan penempatan orang Melayu, berdasarkan catatan sejarah setiausaha kehormat MAS pada tahun 1933-41 John Hand.

“Pewartaan sebagai tanah MAS ini terus kekal hingga ke hari ini,” kata Ambrin.

Bercanggah dengan PKB

Kenyataan itu bagaimanapun bercanggah dengan penjelasan PKB bulan lalu melalui senarai soalan lazim yang dikeluarkan, antaranya:

Adakah Kampung Sungai Baru terletak dalam Malay Agricultural Settlement (MAS)?

Tidak. Berdasarkan rekod pada geran, Kampung Sungai Baru tidak mempunyai endorsan kawasan MAS  dan pegangan tanah di Kampung Sungai Baru adalah pajakan 99 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman

Kampung itu dilanda kontroversi selepas terdapat sekumpulan penduduk yang enggan berpindah. 

Terdahulu, berlaku ketegangan ketika proses pengosongan yang antaranya menyaksikan muka dan kepala seorang pegawai kanan polis berlumuran darah akibat dibaling batu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS