Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, serta kementerian berkenaan susulan kontroversi yang tercetus berhubung isu hidangan alkohol semasa majlis makan malam sempena Global Travel Meet.
Dia dipetik Bernama sebagai berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

"Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama.
"Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir tetapi tidak wajar sama sekali," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya di Sepang selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Pagi tadi, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan sesi waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) tidak dapat diadakan hari ini kerana Anwar telah dititahkan ke Istana Negara pagi ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan jemaah menteri dan semua jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam menangani isu tersebut, dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
"Saya peringatkan jemaah menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini," kata perdana menteri.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Ini disusuli dengan pelbagai pihak yang mendesak supaya Tiong meletak jawatan dan menghentamnya.
Menjawab pengkritik, Tiong menafikan bahawa minuman beralkohol dihidangkan pada majlis makan malam anjuran kerajaan.

Dia kemudian menjelaskan bahawa kerajaan pada asalnya sepatutnya menjadi tuan rumah acara itu. Bagaimanapun, berikutan kejayaan Global Travel Meet, syarikat swasta kemudian mengambil alih penganjura dan membiayai kosnya.
Tiong enggan mengulas lanjut mengenai acara itu ketika ditemui pemberita pada majlis di Sunway hari ini.
“Aku sudah jawab, cukuplah,” katanya.
