ULASAN | Artikel ini tidak bertujuan menafikan kekejaman rejim Hitler dalam tragedi Holocaust. Namun keupayaannya menggunakan propaganda secara sistematik sehingga bangsa Jerman muncul sebagai sebuah bangsa yang disegani, merupakan suatu fenomena komunikasi politik yang wajar diperhatikan dan dikaji dengan lebih mendalam.
Adolf Hitler (20 April 1889–30 April 1945) merupakan figura utama dalam sejarah propaganda politik moden. Beliau terlibat dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918) tetapi memainkan peranan penting dalam Perang Dunia Kedua (1939–1945).
Sehingga kini beliau dilabel oleh musuh politiknya sebagai pemimpin kejam, bengis dan diktator yang gila kuasa.
Dalam sejarah dunia moden, hanya segelintir pemimpin politik yang memahami sepenuhnya kuasa psikologi propaganda.
Ternyata antara pemimpin yang paling cekap memanfaatkan propaganda ialah Hitler. Walaupun beliau dikenang sebagai diktator kejam yang memulakan Perang Dunia Kedua dan mendalangi Holocaust (satu aspek penting dalam kejayaannya membina rejim Nazi), namun beliau sangat berjaya dalam menyusun propaganda yang menyusup ke dalam setiap lapisan masyarakat Jerman.
Hitler bukan hanya penguasa politik, tetapi juga pengubah naratif. Segala-galanya bermula dengan Mein Kampf (Perjuanganku), kitab rujukan ideologi Nazi yang ditulisnya ketika di penjara pada 1924. Buku itu bukan sekadar autobiografi sebaliknya merupakan peta jalan ideologi, strategi politik dan kerangka propaganda yang menjurus kepada penguasaan mutlak.
Ketika berusia 25 tahun, Hitler cukup daif dari segi pendidikan. Beliau merupakan lelaki yang diibaratkan hidup berkelana tanpa sebarang sokongan keluarga atau kawan selain dilihat tidak mempunyai masa depan. Bagaimanapun, beliau menimba pengalaman yang berguna ketika terlibat dalam kancah Perang Dunia Pertama sebagai anggota tentera Bavaria.
Selepas Perang Dunia Pertama yang menyaksikan kekalahan Jerman, Hitler pulang ke Munich dan meneruskan kerjanya dengan tentera Jerman. Sebagai pegawai perisikan, beliau memantau aktiviti Parti Pekerja Jerman - Deutsche Arbeiterpartei(DAP) dan tertarik dengan idea anti-Semitik, nasionalis dan anti-Marxis pengasas parti itu iaitu Anton Drexler.
Pada Disember 1919, Hitler menyertai DAP yang kemudian mengubah namanya kepada The Nationalsozialistische Deutsche Arbeiterpartei (NSDAP) atau selalunya diringkaskan sebagai Nazi.
Hitler secara peribadi mereka bentuk bendera Jerman - Nazi, meletakkan simbol swastika ke dalam lingkaran putih pada latar belakang merah.
Beliau pernah mengetuai bahagian propaganda DAP dan mengadakan beberapa rapat umum. Beliau sering ‘menjaja’ kehadiran nama pemimpin terkenal pada perhimpunan anjuran parti itu tetapi pada akhirnya hanya beliau seorang yang muncul di pentas. Pada 1921, beliau melonjak kedudukannya apabila menggantikan Drexler sebagai pengerusi parti.
Hitler dipenjara
Setelah cubaan rampasan kuasa Beer Hall Putsch gagal, Hitler dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun. Ketika di Penjara Landsberg, beliau menulis Mein Kampf, yang diterbitkan dalam dua jilid pada 1925 dan 1926.
Buku itu mengandungi pelbagai idea berbahaya berkaitan teori konspirasi Yahudi, impian keunggulan bangsa Aryan, serta seruan untuk menyatukan Jerman Raya.
Bagi Hitler, propaganda bukan alat untuk mendidik tetapi untuk meyakinkan dan menggerakkan. Ia perlu ringkas, diulang-ulang dan menyasarkan kepada perasaan, bukan akal.
“Semakin besar pembohongan itu, semakin besar kemungkinan ia dipercayai,” tegas Hitler.
Dalam karyanya, topik paling menonjol ialah bab berkaitan propaganda. Dalam jilid pertama, Bab 6 bertajuk “Propaganda Perang” manakala jilid kedua mengandungi Bab 11, “Propaganda dan Organisasi”.
Di sini, Hitler menghuraikan kaedah mencipta pengaruh massa iaitu bukan melalui kebenaran objektif tetapi dengan memanipulasi emosi rakyat khususnya ketakutan, kemarahan dan kebencian.
Hilter cekap menghidu peluang yang ada di sekeliling. Pada saat rakyat Jerman tertekan akibat dari Persetiaan Versailles, berpunca daripada kekalahan Perang Dunia Pertama, Hitler membangkitkan semangat Jerman agar kembali menjadi bangsa terhormat pada masa depan.
Dengan memanipulasi lambang dan berpidato yang penuh emosi, Hitler berjaya mengembangkan rasa identifikasi, komitmen dan kesetiaan khalayak. Slogan yang sangat popular waktu itu adalah “ein volk, ein reich, ein fuhrer” (“satu bangsa, satu empayar, satu pemimpin”).
Bab 6 dalam jilid pertama yang bertajuk “Propaganda Perang” menggariskan bagaimana propaganda perlu menembusi perasaan manusia dengan menanam emosi ketakutan, kebencian, harapan dan kebanggaan.
Hitler mengkritik propaganda Jerman semasa Perang Dunia Pertama sebagai lemah kerana terlalu intelektual dan tidak memadai dalam menyentuh emosi rakyat. Sebaliknya, beliau memuji propaganda musuh (British dan Amerika) kerana lebih agresif, ringkas dan tepat kepada sasaran walaupun palsu.
Bagi beliau, propaganda perlu menyasarkan rakyat biasa iaitu golongan yang mudah terkesan dengan slogan serta simbol dan bukan golongan intelektual yang cenderung berfikir kritikal.
Dalam Bab 11 jilid kedua, Hitler memperluaskan idea propaganda dengan mengaitkannya kepada keperluan organisasi politik.
Di sini beliau menjelaskan bagaimana propaganda perlu menjadi alat untuk memperluas pengaruh parti dan mengukuhkan gerakan massa.
Antara strategi yang disebut:
Pemisahan antara propaganda dan doktrin dalaman - iaitu mesej kepada rakyat biasa mestilah berbeza daripada doktrin dalaman bagi anggota parti. Rakyat hanya perlu diberi naratif ringkas yang mampu meyakinkan dan digerakkan.
Perluasan melalui struktur terancang - di mana propaganda perlu disebar melalui saluran yang sistematik dari ceramah awam, poster, akhbar hingga kepada seni serta pendidikan.
Pemilihan waktu dan keadaan - iaitu Hitler menekankan tentang kepentingan masa dan suasana sebagai faktor utama dalam keberkesanan propaganda. Sesuatu mesej yang berkesan dalam tempoh krisis tidak semestinya berguna ketika waktu aman.

Bagi beliau, propaganda bukan sekadar alat komunikasi, tetapi strategi awal yang membentuk kesetiaan rakyat dan memudahkan pelaksanaan tindakan besar seperti penindasan, penaklukan dan pembersihan etnik. Melalui propaganda, rakyat Jerman diyakinkan bahawa kebangkitan Nazi ialah kehendak rakyat dan takdir bangsa.
Pada 1933, setelah menjadi Canselor Jerman, Hitler menubuhkan Kementerian Propaganda dan Penerangan diketuai oleh Joseph Goebbels, seorang tokoh retorik yang lebih ekstrem.
Goebbels membina sistem propaganda paling tersusun dan berkesan dalam sejarah moden. Beliau memperkukuh konsep “The Big Lie” (pembohongan besar) dengan prinsip iaitu ulangi sesuatu pembohongan sehingga ia diterima sebagai kebenaran. Dalam konteks Nazi, pembohongan besar ialah Yahudi memulakan perang terhadap Jerman dan mereka menjadi ancaman kepada Eropah dan perlu dihapuskan.
Goebbels menggunakan semua medium masa itu iaitu filem, poster, buku, radio, muzik dan pelbagai bahan cetakan untuk menyebarkan propaganda.
Filem digunakan secara meluas untuk mendewakan Hitler dan ideologi Nazi.
Filem paling terkenal ialah Triumph of the Will (1935), arahan Leni Riefenstahl yang menggambarkan Hitler sebagai dewa politik dan Jerman sebagai bangsa agung.
Durasi 15 minit terakhir filem tersebut dipaparkan ucapan terakhir Hitler ketika hari penutup Perhimpunan Parti Nazi (Reichsparteitag) di Nuremberg pada 1934.
Hitler berucap di hadapan lebih 700,000 ahli parti, tenteradan penyokong awam. Ucapan penutupnya menekankan tentang kesetiaan mutlak kepada Nazi, perpaduan bangsa Jerman dan ketaatan kepada pemimpin (Führerprinzip).
Perhimpunan itu ditutup dengan gempita sorakan “Sieg Heil!” (Hidup Kemenangan).
Propaganda Nazi begitu jelas menggunakan kuasa sinema dengan mempersembahkan kekuasaan sebagai takdir yang tidak boleh ditolak.
Ia bukan sahaja mendewakan Hitler tetapi meresapkan emosi kagum, taat dan takut ke dalam rakyat.

Biarpun sebegitu banyak propaganda dilancarkan, Nazi tetap tewas dalam Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun kesan propaganda Hitler tetap membekas dalam pemikiran, budaya dan sejarah dunia. Mein Kampf menjadi bukti betapa kata-kata boleh mencipta perang dan jutaan nyawa menjadi korban.
Malah teknik yang digunakan Hitler terus menjadi rujukan sama ada dalam bentuk eksplisit mahu pun tersirat. Dunia hari ini menyaksikan bentuk baharu propaganda melalui media sosial, troll farm, algoritma dan deepfake yang mampu menyebarkan naratif sesat dalam sekelip mata.
Dalam konteks Malaysia dan dunia moden, sejarah Hitler mengingatkan kita terhadap propaganda yang tidak mati. Sebaliknya ia hanya berubah wajah selain bergerak dari bentuk poster kepada TikTok atau dari ceramah kepada WhatsApp.
Namun intipatinya kekal iaitu menguasai fikiran, mencipta musuh dan menghalalkan tindakan yang tidak manusiawi atas nama ‘kebenaran yang diyakini’.
Apa yang menakutkan ialah teknik digunakan oleh Hitler masih hidup sehingga hari ini dalam bentuk algoritma media sosial, bot, troll farm dan “deepfake”.
Dunia tidak lagi memerlukan hanya poster untuk menyebarkan kebencian sebaliknya cukup dengan satu mesej viral yang direka untuk membakar emosi.
Jika ingin mengambil iktibar daripada sejarah Nazi, ia sebenarnya mengajar kita bahawa kebenaran boleh dikalahkan dengan emosi.
Pada zaman media tanpa sempadan, ancaman propaganda bukan lagi di tangan diktator tetapi dalam algoritma yang kita pilih untuk percaya.
Mein Kampf dan propaganda Nazi bukan hanya tinggalan sejarah tetapi amaran keras kepada setiap warga demokrasi. Propaganda boleh mencipta dunia khalayan yang dipercayai bersama. Dan di saat kebenaran menjadi relatif, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.
Bab 6 dan 11 Mein Kampf menunjukkan bahawa Hitler bukan sekadar penulis ideologi, sebaliknya seorang jurutera emosi rakyat.
Bagi beliau, propaganda bukan pilihan, tetapi prasyarat kekuasaan. Ia perlu ringkas, emosional dan berstruktur selain tidak mengutamakan soal kebenaran sebaliknya ia cukup dipercayai khalayak.
Dalam dunia hari ini, ancaman propaganda tidak lagi terletak di tangan diktator tetapi telefon pintar yang dimiliki setiap individu.
Jika rakyat tidak memiliki literasi media dan kesedaran kritikal, maka sejarah bukan sahaja akan berulang. Ia bakal dimuat naik, dikongsi dan dipercayai semula.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
