Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PN: Tubuh RCI siasat skandal dokumen palsu pemain warisan
Diterbitkan:  Oct 8, 2025 12:06 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

PN menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pemalsuan dokumen pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagaimana didedahkan dalam laporan penuh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) semalam.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan menegaskan RCI tersebut perlu ditubuhkan bagi menyiasat semua pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengesahan dokumen palsu berkenaan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"KDN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga, amatlah perlu meneliti sebarang kecenderungan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan .

Tegas Takiyuddin, sasatan yang telus menjadi lebih mendesak apabila FAM sendiri dalam kenyataannya bertarikh 11 Jun lalu berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hal dokumentasi terbabit.

Dalam alasan penghakiman terhadap hukuman ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan, Fifa mendapati bahawa datuk atau nenek pemain-pemain itu bukan berasal dari Malaysia, seperti yang didakwa badan induk bola sepak itu:

  • Gabriel Felipe Arrocha – datuk/nenek lahir di Sepanyol (bukan dari Melaka)

  • Facundo Tomás Garcés – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan dari Pulau Pinang)

  • Rodrigo Julián Holgado – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan dari Pulau Pinang)

  • Imanol Javier Machuca – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan dari Pulau Pinang)

  • João Vitor Brandão Figueiredo – datuk/nenek lahir di Brazil (bukan dari Johor)

  • Jon Irazábal Iraurgui – datuk/nenek lahir di Sepanyol (bukan dari Sarawak)

  • Hector Alejandro Hevel Serrano – datuk/nenek lahir di Belanda (bukan dari Melaka)

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pemberian kewarganegaraan kepada pemain-pemain itu mematuhi undang-undang.

Pada 28 Sept, FAM pula menjelaskan bahawa masalah tersebut berpunca daripada “kesilapan teknikal” dalam proses penyerahan dokumen.

‘Penipuan terancang’

Sementara itu, Takiyuddin berkata lebih mengejutkan, JPN dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay).

Pendedahan itu, katanya, mengubah kes ini daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara, sekali gus disifatkan sebagai perbuatan yang amat serius dan mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia.

"Kesimpulan laporan FIFA amat jelas, iaitu pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi merupakan penipuan terancang.

"Ia juga menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Keadaan ini turut menggambarkan Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dan kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” tambah Setiausaha Agung PAS itu.

Senada dengan Takiyuddin, Pengerusi Urimai, P Ramasamy berkata proses untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia amat sukar, malah ramai yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menerima maklum balas daripada JPN walaupun dilahirkan di negara ini.

“Namun, jika pemohon itu pemain import kelas tiga atau empat, kewarganegaraan pula menanti mereka dengan tangan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pemimpin DAP itu turut menggesa FAM supaya mengambil tanggungjawab dan tidak terus berselindung di sebalik alasan teknikal.

“Tetapi persoalan sebenar ialah, kenapa Malaysia begitu terdesak mendapatkan pemain import, sedangkan bakat tempatan diabaikan?".

“Walaupun telah membawa masuk pemain import dengan gaji dan elaun tinggi, mutu bola sepak Malaysia masih tidak menunjukkan peningkatan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS