Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Singapura gantung mati Pannir Selvam
Diterbitkan:  Oct 8, 2025 1:36 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Singapura hari ini melaksanakan hukuman mati terhadap warga Malaysia Pannir Selvam Pranthaman atas kesalahan mengedar dadah di republik itu.

Ini di sahkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) republik itu., hari ini menerusi satu kenyataan media.

"Hukuman mati ke atas Pannir Selvam A/L Pranthaman dilaksanakan pada 8 Oktober 2025," katanya.

Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa menolak permohonan terakhirnya untuk penangguhan hukuman.

CNB berkata Pannir Selvam telah diberikan proses undang-undang yang lengkap dan diwakili oleh peguam semasa perbicaraan dan rayuan.

Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017, atas kesalahan mengimport tidak kurang daripada 51.84g diamorphine ke Singapura pada 3 September 2014 dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), hukuman mati dikenakan jika jumlah diamorphine yang diedarkan melebihi 15g.

Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman itu, tetapi Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 9 Februari 2018.

Menurut CNB, selepas rayuannya ditolak, Pannir terlibat dalam 11 permohonan selepas rayuan, tujuh daripadanya adalah permohonan bersama dengan banduan lain yang menunggu hukuman mati.

"Semua permohonan ini ditolak atau diselesaikan," menurut agensi itu.

Pannir Selvam diberikan penangguhan hukuman mati sebanyak dua kali. Yang pertama adalah pada Mei 2019, atas alasan dia berhasrat untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya.

Penangguhan kedua diberikan pada Februari 2025, sementara menunggu keputusan permohonan selepas rayuan untuk penangguhan hukuman, yang kemudiannya ditolak pada 5 September.

Dalam percubaan undang-undang terakhirnya, Pannir Selvam memfailkan permohonan melalui peguamnya, Too Xing Ji, pada Isnin untuk memohon penangguhan hukuman mati.

Hakim Bahagian Rayuan Hakim Woo Bih Li, dalam penghakiman bertulis pada Selasa berkata tiada asas untuk memberikan penangguhan dan oleh itu menolak permohonan itu secara ringkas, tanpa memerlukan perbicaraan lisan, menurut Seksyen 60G(8) Akta Kehakiman Mahkamah Tertinggi (SCAJ).

Ini adalah hukuman mati kedua ke atas rakyat Malaysia di republik itu dalam tempoh dua minggu, selepas hukuman mati ke atas K Datchinamurthy pada 25 September.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS