Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan satu inisiatif cukai baru bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerajaan akan memberikan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan melibatkan bayaran kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
“Bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan,” katanya.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Anwar juga turut mengumumkan pelbagai insentif fiskal dan peruntukan besar lain bagi memacu sektor pelancongan negara dalam Belanjawan 2026, selari dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam usaha merancakkan industri pelancongan dan kebudayaan, kerajaan turut mencadangkan beberapa insentif cukai penting.
Menurut Anwar, pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan akan diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak sehingga RM500,000.
“Syarikat pengendali pelancongan pula akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
“Selain itu, syarikat, persatuan dan organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa akan diberikan pengecualian cukai pendapatan penuh ke atas pendapatan berkanun.
“Manakala syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing pula akan menerima pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun,’ katanya.
Jelas Anwar, kerajaan meletakkan sasaran tinggi dengan harapan untuk menarik 47 juta pelancong serta menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM329 bilion.
Menurutnya, sasaran ini diharap dapat membawa limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf dan rakyat keseluruhannya.
Bagi membolehkan negara mencapai sasaran itu, Anwar berkata kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak lebih RM700 juta bagi mempergiat sektor pelancongan.
“RM500 juta diperuntukkan bagi menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 manakala RM60 juta disediakan untuk dana galakan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.
“Selain itu, RM50 juta akan disalurkan untuk menyokong pengusaha seni dan warisan yang menjana pendapatan melalui penghasilan karya kraf seperti batik dan tenunan,” katanya.
Kata Anwar, satu lagi peruntukan RM50 juta adalah untuk geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan penerbangan carter ke Malaysia, dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berjaya menarik masuk 10 syarikat penerbangan antarabangsa termasuk British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air.
“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM25 juta untuk menambah baik kemudahan pelancongan, khususnya dalam usaha memulihara tapak warisan dunia UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Lembah Lenggong di Perak dan FRIM Forest Park di Selangor yang baru diisytiharkan tahun ini.
“Sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan untuk mempergiatkan program pelancongan kesihatan yang dikendalikan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia,” katanya.
Tambahnya, Pulau Langkawi kekal menjadi destinasi tumpuan utama pelancong, dengan penekanan pembangunan produk geopelancongan seperti Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.
