Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bersatu tidak boleh ditunggang untuk selamatkan diri, ahli keluarga’
Diterbitkan:  Oct 14, 2025 1:28 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

PARLIMEN l Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang baru dipecat daripada Bersatu, mengingatkan pimpinan agar tidak menjadikan parti itu sebagai alat untuk kepentingan peribadi atau keluarga mereka.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Wan Saiful menegaskan bahawa dia dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal — yang digantung keahliannya selama satu penggal — masih komited dengan perjuangan Bersatu, walaupun ada pihak tertentu berusaha menyingkirkan mereka.

Katanya, apa jua situasi yang berlaku, dia dan Wan Ahmad Fayhsal masih kekal setia bersama Bersatu. 

“Parti ini bukan milik individu dan kami akan terus berusaha melalui proses dalaman dengan penuh komitmen.

“Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana individu apatah lagi untuk digunakan atau ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Lembaga Disiplin Bersatu hari ini mengumumkan pemecatan Wan Saiful, serta empat ketua bahagian parti, dan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk satu penggal atas dakwaan melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan.

Walaupun lembaga itu tidak menjelaskan secara terperinci jenis pelanggaran yang dilakukan, difahamkan tindakan terhadap mereka berkaitan dengan usaha terbaru untuk menekan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin supaya menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.

Wan Fayhsal, yang turut disiasat oleh parti, sebelum ini menafikan penglibatan dalam perebutan kuasa tersebut, namun hanya menyatakan bahawa isu berkenaan melibatkan “hal dalaman parti berkait pilihan raya lalu.”

Bercakap kepada media di Parlimen hari ini, Wan Saiful secara sinis mempersoalkan tindakan pantas lembaga disiplin yang menghantar keputusan pemecatan mereka melalui WhatsApp sekitar jam 10 malam tadi.

“Perkhidmatan yang begitu efisien — saya puji kecekapan lembaga ini, sanggup bekerja hingga lewat malam,” katanya dengan nada sindiran.

“Aduan terhadap saya difailkan pada 18 September, saya terima notis pertama pada 21 September, dan dipanggil untuk sesi pendengaran pada 25 September. Saya ucap tahniah dan sangat bangga dengan kecekapan parti menjalankan kerja,” katanya.

Wan Saiful berkata dia dan Wan Fayhsal akan meneliti keputusan tersebut sebelum menentukan langkah seterusnya, termasuk sama ada akan membuat rayuan.

“Kami akan kekal teguh memperjuangkan perjuangan Bersatu kerana kami membina parti ini bersama ahli akar umbi dan pemimpin bahagian yang telah banyak berkorban memperkukuh parti,” katanya.

Sementara itu, Wan Fayhsal yang turut hadir mendakwa “ada sesuatu yang tidak kena” sedang berlaku dalam parti, dan menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan itu yang menurutnya boleh menjejaskan momentum sokongan terhadap Bersatu dan PN.

“Apa yang berlaku kepada kami amat mengecewakan dan satu kerugian buat PN, terutama menjelang pilihan raya negeri Sabah.

“Saya persoalkan keputusan mereka yang terburu-buru melaksanakan ‘keadilan’ ini, yang sebenarnya adalah satu ketidakadilan,” katanya.

Wan Fayhsal turut menyentuh perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Parlimen semalam yang katanya mendapat sambutan baik rakyat.

“Tetapi hari ini, apabila berita tindakan parti keluar, momentum itu tenggelam,” katanya.

Dia turut mendedahkan bahawa mereka berdua telah menerima “ratusan mesej sokongan dan simpati” daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS