ULASAN SUKAN | Selera skuad Harimau Malaya makin bertambah. Pemain negara semacam sudah menghidu satu lagi kemenangan bakal tercipta apabila mereka melangkah memasuki padang bagi menentang Laos malam ini.
Andai berpandu kepada prestasi semasa, niat mahu mengutip tiga lagi mata tambahan bukanlah sesuatu yang mustahil di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jika menang, peluang negara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi makin cerah. Hal itu kerana Harimau Malaya akan dapat mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan.
Namun, ada sesuatu yang pasti akan terus mengusik minda semua – sama ada pemain, pihak pengurusan skuad negara dan peminat – ketika para pemain bersaing dalam kumpulan F itu nanti.
Persoalan itu ialah: sama ada keputusan kemenangan yang ada pada Malaysia akan kekal atau sebaliknya? Jika soalan itu ditanya sebulan lalu, jawapannya sudah tentu suatu kepastian.
Pada saat ini Harimau Malaya berdepan kemungkinan dipotong mata selepas FAM didenda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa). Segala-galanya kini nampak samar-samar.
Lupakan dulu buat sementara
Kita masih dibayangi kemelut berpunca daripada isu tujuh “pemain warisan” yang didakwa Fifa sebagai tidak sah ketika Harimau Malaya menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Kini FAM berada dalam proses rayuan bagi mempertahankan langkah mereka. Keputusan oleh Jawatankuasa Rayuan Fifa bakal diketahui tidak lama lagi.
Apa pun, persembahan pasukan negara ketika menewaskan Laos 3-0 di Vientiane pada 9 Okt lalu sedikit sebanyak mencetus rasa ceria dalam kalangan peminat, sambil ia menyalakan kembali harapan ramai.
Ia memberi gambaran betapa rentak permainan kita masih sama dan mampu menghasilkan kemenangan sekalipun tanpa khidmat tujuh pemain warisan tersebut.
Justeru Harimau Malaya perlu memusatkan lagi tumpuan untuk mengulangi pencapaian terpuji di Vientiane. Biarlah apa yang akan berlaku selepas ini dilupakan saja sementara.

Apa dapat dilihat, anak didik Peter Cklamovski itu mahu membuktikan lagi nilai masing-masing dan mengibar Jalur Gemilang di bumi sendiri buat menggembirakan penyokong setia.
Apakah Bukit Jalil akan bergema dengan sorakan bagi menghangatkan suasana dan membakar semangat pemain Harimau Malaya pada malam yang penting ini?
Seperti kata penyerang tempatan, Faisal Halim, skuad kebangsaan kita sudah tidak sabar untuk gah beraksi di halaman sendiri.
“Sebagai pemain saya bersedia dalam apa situasi sekalipun untuk membantu pasukan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media semalam.
Tumpu tugas jurulatih saja
Kemarau jaringan Faisal berakhir selepas 623 hari. Sebelum ini, penyerang lincah atau lebih mesra disapa ‘Mickey’ itu melalui pelbagai detik sukar serta masa depan yang tidak menentu.
Gol terakhirnya sebelum ini ialah pada 25 Januari 2024 ketika membantu skuad negara mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan E, Piala Asia 2023 di Qatar.
Jaringan cantik oleh Faisal itu dinobatkan sebagai gol terbaik kejohanan dengan undian tertinggi.
Seperti pemain lain, hajat Faisal untuk tampil membuat satu lagi kemunculan di pentas kejohanan tertinggi Asia itu masih kuat membara.
Gelora ganas yang melanda FAM sejak lebih dua minggu lalu hanya membuat mereka bersabar dan menyimpan harapan agar pasukan negara bakal bebas daripada segala kekusutan ditanggung ketika ini.
Cklamovksi juga mungkin sedar bahawa adalah lebih baik baginya untuk menutup mulut dan hanya memberi tumpuan kepada tugasan selaku ketua jurulatih pasukan. Biar FAM saja menguruskan masalah pentadbiran mereka.
Bagus juga dia sudah memohon maaf. Tapi kenapa tidak terfikir dulu sebelum berkata-kata?
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
